Hanya 30 peratus penduduk di kawasan PKPD Tawau jalani saringan COVID-19

TAWAU: Hanya 30 peratus penduduk di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini sudah menjalani ujian saringan COVID-19, kata Pegawai Kesihatan Tawau Dr G Navindran.

Beliau berkata empat kawasan yang terlibat dengan PKPD di Daerah Tawau iaitu Kampung Simpang 3A Merotai Besar, Kampung Baru Pasir Putih, Fasa 2 Taman Semarak dan Kampung Ranggu Batu 10 yang penduduknya berjumlah 3,069.

Navindran yang ditemui pemberita di sini hari ini juga meminta penduduk yang terlibat dengan PKPD agar memberi kerjasama untuk melakukan saringan COVID-19.

Terdahulu beliau hadir pada majlis penyerahan bakul makanan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andi Muhammad Suryady Bandy di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas memberi amaran keras akan mengenakan kompaun kepada penduduk di kawasan yang dikenakan PKP jika cuba “curi-curi” keluar masuk melalui lorong tikus di kawasan masing-masing.

“Pasukan Polis Marin juga digerakkan memantau dari kawasan laut bagi mengelak penduduk melarikan diri atau curi-curi keluar masuk kawasan itu,” katanya.

Sementara itu Peter berkata berikutan pelaksanaan semula PKP di daerah itu, sebanyak tiga sekatan jalan raya dilakukan iaitu di Jambatan Putih, Batu 2 Jalan Apas serta Jalan Tiku di sini.

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *