Tuntutan Ambalat belum diputuskan – Anwar

NILAI: Kerajaan tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian maritim dengan Indonesia membabitkan kawasan yang dirujuk sebagai blok Ambalat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, dakwaan kononnya perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia yang ditandatangani beliau dan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 8 Jun lalu membabitkan blok perairan itu adalah fitnah dan tidak benar.

“Ada yang belum selesai (dimeterai) termasuk kawasan disebut Ambalat itu, tapi mereka ‘bingai’. Ambalat itu belum selesai (belum diputuskan). Kawasan di Sabah, Pulau Sebatik pun belum selesai.

“Saya katakan dengan Jokowi, kita tandatangan (perjanjian maritim) yang sudah selesai sahaja,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, dilapor menggesa Perdana Menteri dan Menteri Luar memberi penjelasan terperinci berhubung isu blok Ambalat selepas menandatangani perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia pada 8 Jun lalu.

Saifuddin dilaporkan berkata, rakyat berhak mendapat penjelasan terperinci mengenai isu Ambalat supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia dan Indonesia adalah negara jiran yang erat, dengan kedua-dua pihak setuju tidak akan mengambil jalan untuk bermusuh.

“Indonesia siapa? jiran kita..satu rumpun dan sahabat. Dulu sebahagian besarnya (wilayah) satu negara, sama ada kerajaan Melayu Melaka, Johor Riau atau Majapahit, hubungan itu satu keluarga.

“Saya tidak mahu bermusuh dengan Indonesia. Saling bergantungan, malah kita mahu tingkatkan lagi hubungan persahabatan ini.

“Jadi bila kita runding, makan belas tahun, puluhan tahun sejak merdeka. Selama 18 tahun bincang pasal sempadan (maritim). Saya putuskan dengan Jokowi, instruksi dia kepada rakyat, selesaikan dengan segera,” katanya.

Anwar juga menjelaskan, perjanjian maritim itu ditandatangani selepas dipersetujui dan mendapat nasihat daripada pihak berautoriti termasuk Peguam Negara.

“Arahan saya kepada pegawai, cari jalan bukan gadai, ikut peraturannya. Siapa putuskan? jawatankuasa ukur dan pemetaan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Peguam Negara, semua uruskan. Sudah selesai, baru saya tandatangan.

“Johor saya cakap sendiri dengan tuanku Sultan Johor, kawasan yang kita tandatangani ini tak termasuk perbatasan Johor. Dia melepasi sempadan Johor.

“Ini contoh bagaimana fakta itu ditipu oleh orang yang gelar dia ustaz dan tok guru. Sebab itu kita rujuk fakta, nak pakai orang politik ini..dengar boleh, nak tahu betul atau tak, kena rujuk fakta,” katanya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *