TLDM Sepanggar terima 2 buah Helikopter Operasi Marin AW139

KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah melaksanakan perolehan helikopter baru bagi menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan dan penyeludupan serta penculikan untuk meminta wang tebusan yang berlaku di perairan Sabah.

Helikopter AW139 buatan Leonardo Helicopter Italy dengan kod nama Helikopter Operasi Maritim (HOM) telah dipilih bagi memperkukuhkan Armada Timur.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husein berkata,  secara keseluruhan, pembelian yang dibuat ialah sebanyak tiga buah Helikopter AW139. Dua daripadanya telah diterima pada April lalu dan diserahkan hari ini manakala sebuah lagi dijangka sampai pada bulan September.

“Penting untuk saya maklumkan, Helikopter AW139 yang diserahkan ini merupakan aset terbaru TLDM yang dibeli berpandukan kehendak end user sendiri iaitu TLDM yang amat memerlukan HOM khusus bagi meningkatkan keupayaan operasi TLDM terutama dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negeri Sabah,” katanya.

Hishammuddin berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan satu majlis bersejarah penyerahan Helikopter AW139 kepada TLDM, di Pangkalan TLDM di Teluk Sepanggar, di sini, pada Jumaat. (1 Julai)

Majlis penyerahan Helikopter AW139 daripada Galaxy Aerospace Malaysia Sdn Bhd, Pengerusi Eksekutif Dato’ Seri Johari Harun kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz, selaku wakil kerajaan Malaysia di Kota Kinabalu hari ini

Dalam pada itu, Hishammuddin turut merasmikan unit operasi udara utama iaitu Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) serta unit operasi HOM yang dikenali sebagai Skuadron 503 (SKN 503).

SUKK ditubuhkan sebagai unit yang bertanggungjawab di dalam aspek bantuan sokongan operasi penerbangan manakala Skuadron 503 dtubuhkan sebagai unit operasi barisan hadapan yang akan mengoperasikan HOM tersebut.

Pada majlis itu, Hishammuddin turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi mengecat semula bangunan TLDM di Teluk Sepanggar. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *