Ketua Menteri Sabah jelaskan bon hutang negeri RM1 bilion dibayar guna Kumpulan Wang Amanah

KOTA KINABALU: Dakwaan dari tiga wakil rakyat Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengenai penyelesaian bon hutang negeri sebanyak RM1 bilion dengan sekali bayaran pada tahun lepas dinafikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Hajiji sebaliknya berkata hutang terbabit sebenarnya dibayar menggunakan Kumpulan Wang Amanah atau ‘Sinking Fund’ yang ditubuhkan atas saranan Bank Negara ketika penerbitan bon itu pada tahun 2014.

“Kerajaan negeri telah mencarum ke dalam Kumpulan Wang ini pada setiap tahun agar tidak membebankan apabila membuat pembayaran satu ‘bullet payment’ pada tarikh matang bon berkenaan iaitu pada tahun 2019.

“Oleh itu, gambaran yang diberikan oleh Ahli Yang Berhormat daripada Senallang, Merotai dan Tanjung Kapor adalah mengelirukan dan kurang tepat.

“Mereka telah menyatakan seolah-olah bayaran balik bon berkenaan dibuat secara sekali gus dengan menggunakan peruntukan tahun kewangan 2019. Hakikatnya, pembayaran tersebut telah menggunakan ‘sinking fund’ yang telah dicarum sejak dari awal sebaik sahaja bon diterbitkan,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan Sabah 2021 bagi Kementerian Kewangan negeri pada persidangan bertempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji yang merupakan Menteri Kewangan Sabah turut berkata penerbitan bon RM1 billion berkenaan telah mendapat kadar kupon (coupon rate) yang rendah iaitu sebanyak 4.275 peratus.

“Kerajaan negeri melabur di dalam simpanan tetap di Sabah Development Bank Berhad dengan kadar pulangan sebanyak 4.325 peratus.

“Dengan ini, kerajaan negeri sebenarnya mendapat keuntungan daripada pelaburan berkenaan dan bukannya hutang lapuk kerajaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *