Covid-19: Jangkitan sporadik di Sabah terus meningkat

KOTA KINABALU – Kes jangkitan sporadik Covid-19 di Sabah terus meningkat kepada 71.18 peratus daripada keseluruhan 2,717 kes positif baharu yang dicatatkan pada Khamis, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, peratusan kes bergejala melalui jangkitan sporadik adalah yang tertinggi pernah direkodkan di negeri tersebut setakat ini.

“Sebanyak 23 daripada 27 daerah di Sabah turut memperlihat trend sama dengan kes sporadik adalah kes terbanyak di daerah-daerah berkenaan.

“Atas sebab itulah kita selalu menggesa rakyat Sabah agar mematuhi semua prosedur operasi standard sepanjang masa sebagai benteng perlindungan daripada ancaman jangkitan virus Covid-19,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Masidi berkata jumlah kumulatif kes positif baharu Covid-19 di Sabah meningkat kepada 346,665 hari ini dengan tujuh kematian dilaporkan masing-masing dua kes di Kota Belud dan Tenom manakala satu kes di Kota Kinabalu, Kinabatangan serta Sipitang.

Beliau berkata seramai 3,985 pesakit Covid-19 di Sabah dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang pulih ialah 301,911 orang manakala 1,543 pesakit sedang menerima rawatan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *