Fokus pastikan rakyat DUN Pintasan terima vaksinasi secepatnya: Fairuz

KOTA BELUD: Kekangan besar pendaftaran vaksinasi penduduk dari kawasan perkampungan terutamanya di pedalaman yang memiliki ramai penduduk adalah ketidakmampuan untuk memiliki telefon pintar sehingga pendaftaran vaksinasi melalui MySejahtera sukar untuk dilakukan. Masalah ini telah mewujudkan rasa tekad kepada Ketua Armada Negeri Sabah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan, untuk memastikan rakyat DUN Pintasan menerima suntikan vaksinasi sepenuhnya.

Bersama – sama Pasukan Skuad N8 DUN Pintasan dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Fairuz mensasarkan sekurang – kurangnya 80 peratus penduduk Pintasan menerima suntikan vaksinasi Covid-19 sebelum Oktober ini. Menurutnya, sebanyak 5,000 pendaftaran vaksinasi Covid-19 telah diterima setakat ini daripada DUN Pintasan.

Program Outreach Vaksinasi Covid-19 bagi DUN Pintasan telah diadakan di Sekolah Kebangsaan Dudar atas justifikasi kawasan itu merupakan lokasi pertengahan bagi kampung – kampung yang terlibat dalam program tersebut. Fairuz dengan penuh azam turut tampil dengan inisiatif penyediaan servis pengangkutan dan penghantaran bagi penduduk yang terlibat dengan program pemberian suntikan vaksin Covid-19.

Fairuz menyasarkan seramai 1,200 penduduk untuk divaksin semasa program itu dijalankan. Fairuz turut menyatakan bahawa lebih 4,000 penerima vaksin telah selesai menerima suntikan vaksinasi Covid-19 sehingga hari tersebut dan akan terus berusaha untuk memastikan lebih ramai penerima vaksin daripada DUN Pintasan.

“Kita tekad untuk membawa seramai mungkin penduduk diberi vaksin, kerana saya seboleh – bolehnya mahu semua rakyat di DUN ini menerima dos suntikan lengkap sebelum Oktober,” ulasnya.

Fairuz juga menegaskan agar rakyat DUN Pintasan tidak merasa takut untuk menerima suntikan vaksinasi Covid-19. Fairuz percaya bahawa kebimbangan tidak sewajarnya diwujudkan demi kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat di sana. Justeru, Fairuz terus komited dan fokus dalam memastikan penduduk DUN Pintasan untuk menerima suntikan vaksinasi lengkap sekurang – kurangnya sebelum Oktober kelak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *