Kerajaan negeri Sabah sasar penubuhan Sekolah Agama Negeri Integrasi di enam bahagian
KENINGAU: Sabah mensasarkan penubuhan Sekolah Agama Negeri (SAN) Integrasi di enam bahagian di negeri ini.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Arif berkata sekolah yang menggunakan kurikulum merangkumi akademik, agama dan tahfiz itu bakal melahirkan generasi pelajar tahfiz yang cemerlang.
“Setakat ini, kita mempunyai dua buah sekolah integrasi iaitu di Putatan dan Sembulan.
“Sekolah integrasi akan menggunakan kurikulum di mana para pelajar tahun enam menduduki peperiksaan Ujian Pernilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Rendah Ugama (SRU), di samping mempunyai kebolehan menghafal separuh daripada al-Quran.
“Kita sedang berusaha dan berharap penubuhannya di enam bahagian dapat direalisasikan mulai tahun 2021,” dedahnya kepada media selepas melawat ke Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Keningau, pada Jumaat.
Pada sesi lawatan itu, Arifin menyaksikan penyampaian sumbangan kewangan berjumlah RM45,000 daripada Pusat Zakat Sabah di bawah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) khusus untuk membiayai keperluan tenaga pengajar di sekolah tersebut.
Turut disampaikan, sumbangan dana pengurusan daripada MUIS untuk pelaksanaan program serta aktiviti sekolah sepanjang tahun sebanyak RM72,000.
Berucap pada majlis itu, Arifin mengumumkan, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM7.6 juta bagi pembayaran bantuan RM200 kepada lebih 37 ribu calon peperiksaan.
Bantuan tersebut meliputi calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Manakala, pelajar-pelajar yang telah mendaftar di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) pada tahun pertama juga layak menerima bantuan RM2,000.
Beliau turut memaklumkan perancangan mengenai perasmian SMAN Keningau yang bakal disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah tidak lama lagi.
Antara yang hadir ialah Timbalan Pengarah (Pengurusan) JHEAINS Ramlan Awang Ali, Setiausaha Politik Kepada Menteri Tugas-Tugas Khas Amat Mohd Yusof, Pengetua SMAN Keningau Mohd Abidin Hasmin dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidkan JHEAINS Abd Rahman Talipudin – SUMBER: JABATAN PENERANGAN