Sabah Sedia Adakan Sidang DUN – Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah bersedia untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bila-bila masa sekiranya situasi mengizinkan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Kami akan meminta nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu dan kami sedia untuk bersidang semula dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Hajiji berkata, beliau sudah berbincang dengan Speaker DUN Kadzim Yahya semalam susulan kenyataan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Rabu lalu, Istana Negara dalam kenyataan menzahirkan pandangan bahawa sidang Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda bertitah, ini bagi membolehkan Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dapat dibahaskan oleh ahli Dewan Rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *