Pelajar 12 buah sekolah di DUN Sulaman terima bantuan

TUARAN: Majlis Penyerahan Sumbangan Program Ceria Ke Sekolah (CKS) Tenaga Nasional Berhad (TNB)/Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.12 Sulaman telah berlangsung di Bangunan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, Tuaran hari ini. Dirasmikan dan disampaikan oleh Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor Ketua Menteri Sabah, merangkap ADUN Sulaman N.12.

Sejumlah RM324,000.00 yang melibatkan sumbangan kelengkapan persekolahan bernilai RM200 kepada setiap pelajar daripada 12 buah sekolah, sumbangan One-Off berjumlah RM34,000 kepada SK Lokub Tuaran menerusi inisiatif Sekolah Angkat TNB, sumbangan tunai RM1,000 kepada 100 orang asnaf daripada Kampung Serusop Tuaran, sumbangan bernilai RM50,000 kepada 5 buah masjid di daerah Tuaran dengan setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM10,000 serta sumbangan berjumlah RM250,000 kepada 4 buah Pusat Maahad Tahfiz terpilih dengan setiap pusat menerima RM25,000.

“Usaha untuk memperkasakan komuniti setempat dengan membangunkan modal insan menerusi pendidikan merupakan salah satu agenda utama Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah. Pelbagai usaha telah kita laksanakan dan akan teruskan pada tahun hadapan seperti Program Bantuan Sosial Sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis melibatkan 289,204 murid dengan peruntukan sejumlah RM13.9 juta, Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) yang melibatkan peruntukan masing-masing sebanyak RM10 juta dan RM7.5 juta

“Satu lagi inisiatif baharu iaitu Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta yang melayakkan setiap anak Sabah yang lahir pada tahun 2022 mendapat bantuan RM100 serta ditawarkan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN). Pada tahun ini juga kita telah mengagihkan 10,000 komputer riba yang membabitkan peruntukan sebanyak RM15 juta menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) yang bermula pada Julai hingga Oktober lalu khususnya untuk pelajar menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Saya amat menghargai komitmen SESB dan TNB dalam memastikan bahawa anak-anak kita tidak tercicir daripada mendapatkan pendidikan berkualiti menerusi bantuan dan tajaan yang mereka sumbangkan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka ini. Kerajaan negeri berharap agar lebih banyak lagi syarikat swasta, NGO dan orang persendirian akan turut melaksanakan program CSR di negeri ini,” kata Hajiji

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *