PBS Sedia Tawan Kerusi Parlimen Tuaran Untuk GRS
TAMPARULI : Parti Bersatu Sabah (PBS) sedia untuk merampas kembali kerusi Parlimen Tuaran untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, beliau yakin mampu menawan kerusi Parlimen Tuaran menerusi kekuatan penyokong di dua kubu kuat PBS iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Tamparuli dan DUN Kiulu.
Selain itu, Maximus turut yakin penyokong di kerusi DUN Sulaman dan Pantai Dalit juga akan turut sama memberi kekuatan kepada parti itu termasuk GRS.
โTamparuli dan Kiulu merupakan kubu kuat PBS, saya yakin PBS akan mampu menawan Tuaran daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) terutama dengan sokongan penyokong di DUN Sulaman dan Pantai Dalit.
โParti kita akan berkembang lebih jauh dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kita di Kiulu dan Tamparuli telah berkhidmat untuk akar umbi dengan baik,โ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Mesyuarat Agung Tahunan PBS DUN Tamparuli kali ke-36 dan ke-37 disini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim dan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai.
Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, pihaknya menjangkakan PRU akan diadakan selewat-lewatnya tahun depan.
Katanya, kerusi Parlimen Tuaran adalah antara kawasan yang diidam-idamkan sebelum ini.
โJentera PBS sudah bersedia dan diperkukuhkan lagi dengan penambahan keahlian dan cawangan.
โGRS yang didaftarkan secara rasmi pada 18 Mac lalu juga akan terus memperjuangkan hak dan tuntutan Sabah dan rakyatnya,โ katanya. -SM