Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Sabah seru rakyat tampil derma darah sempena Hari Natal

KOTA KINABALU: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah menyeru rakyat Sabah untuk datang menderma darah sempena Hari Natal yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok.

Timbalan Pengerusi Program Darah BSMM Negeri Sabah, Leslie Chan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata pihaknya kempen derma darah yang terakhir untuk tahun ini akan diadakan bermula dari pagi sehingga petang.

“Kempen derma darah sempena Hari Natal ini akan diadakan pada 26 dan 27 Disember bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang di Bangunan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah ( belakang bangunan Wisma Wanita),” katanya.

Dalam kenyataan media terbabit, Leslie turut berkata negeri Sabah mencatatkan jumlah pesakit talasemia tertinggi di Malaysia iaitu seramai 1,816 pesakit yang memerlukan bekalan darah berterusan.

“Anggaran darah yang diperlukan di hospital dan setiap pesakit major memerlukan dua pint darah setiap bulan.

“Mengikut statistik Tabung Darah Sabah jumlah penderma yang tampil menderma darah pada tahun 2019 adalah 23,000 orang.

“Untuk makluman juga, jumlah darah yang diperlukan di semua hospital negeri sabah dalam setahun adalah hampir 80,000 pint. Jika mengikut statistik tahun 2019 hanya 30 peratus sahaja darah yang dapat dikutip daripada jumlah yang diperlukan setiap tahun.

“Oleh itu, pihak kami ingin memohon supaya lebih ramai golongan muda atau belia tampil untuk menderma darah bagi melaksanakan tanggungjawab kita bersama,” katanya.

Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut mengenai program terbabit boleh menghubungi Leslie ditalian 013-9913119.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *