GRS, BN perlu seiring demi kestabilan politik di Sabah: Bung Moktar

KUALA LUMPUR: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu berjalan seiring bersama-sama Barisan Nasional (BN) untuk memastikan pembangunan dan kestabilan politik di Negeri di Bawah Bayu, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Saya cuma berharap GRS dan BN dapat memainkan peranan ke arah membangunkan Sabah kerana GRS diwujudkan semata-mata untuk memastikan pembangunan dan kestabilan politik di Sabah.

“Jadi apa yang penting, GRS dan BN dapat memainkan peranan bangunkan Sabah, stabilkan politik demi kemajuan ekonomi, janganlah bergaduh,” kata Pengerusi BN Sabah itu ketika ditemui Bernama pada Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung sejak Rabu dan berakhir pada Sabtu.

Beliau berkata, walaupun BN tidak menyertai GRS namun mereka tetap memainkan peranan sebagai pendukung kepada gabungan politik baharu di peringkat Sabah.

Bung Moktar menyifatkan kemunculan GRS menandakan bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak lagi wujud di Sabah.

“PN di Sabah tidak wujud kerana kemunculan GRS. Ini bermakna PN Sabah tidak wujud kerana tidak boleh ada dua komponen dalam satu gagasan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.

Pada Jumaat, Pengerusi GRS Datuk Hajiji Noor mengumumkan gabungan itu kini secara rasmi terdiri daripada Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) tanpa penyertaan BN dan Pas.

BN Sabah terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). – Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *