Jaga kebajikan, perbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan jadi keutamaan MAFI – Ronald

BELURAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan untuk menjaga kebajikan, memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata tumpuan diberikan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan bekalan ikan mencukupi di seluruh negara.

“Golongan nelayan yang merupakan antara barisan hadapan sektor agromakanan yang sangat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan makanan negara.

“Kerajaan melalui MAFI dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan terus memastikan kebajikan semua golongan sasar sentiasa terbela serta memastikan kelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian Program Jelajah Nelayan Beluran dan merasmikan titian nelayan di Kampung Keniogan, hari ini.

Katanya antara bantuan itu adalah melalui LKIM telah memperuntukkan lebih RM150 juta pada tahun ini bagi menyediakan bantuan dan insentif kepada masyarakat nelayan seluruh negara yang merangkumi Elaun Sara Hidup Nelayan, Subsidi Minyak Diesel dan Petrol, Dana Nelayan, Tabung Bencana dan Kebajikan Nelayan, Projek Tanaman Kotan, Bantuan Projek Ekonomi Kumpulan Nelayan dan Program Food Basket Nelayan.

Dalam pada itu, titian nelayan di Kampung Keniogan itu telah siap pada 13 Mac 2022 yang mana projek ini telah bermula pada 4 Mei 2021 dengan kos keseluruhan bernilai RM1 juta.

Ronald berkata projek titian konkrit ini akan memberikan lebih keselesaan kepada semua penduduk di Kampung Keniogan khususnya golongan nelayan memandangkan keadaan titian yang lama telah usang dan tidak lagi sesuai untuk digunakan.

“MAFI akan terus melihat keperluan kemudahan asas dan infrastruktur lain yang diperlukan oleh kampung nelayan seluruh negara dan akan angkat kepada perhatian Kementerian
Kewangan untuk permohonan dana-dana tambahan bagi memastikan semua inisiatif yang dilaksanakan oleh LKIM diteruskan.

“Kerajaan melalui LKIM sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam menjaga kebajikan serta terus memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi dan mengurangkan bebanan nelayan,” katanya.

Selain itu, bagi membangunkan infrastruktur jeti sedia ada di Beluran, tiga lokasi lain juga telah dibaik pulih sebelum ini iaitu di Jeti Kampung Muanad II, Jeti Kampung Seri Menanti dan Jeti Kampung Keramat.

Sebanyak 18 lagi jeti dan titian di sekitar kampung-kampung nelayan di Beluran sedang dalam perancangan LKIM untuk dibaikpulih, dinaiktaraf serta bina baharu yang akan memberi kemudahan pendaratan ikan yang lebih baik.

Di Sabah, LKIM dalam kajian kesesuaian tapak untuk membina sebuah kompleks pendaratan ikan moden di tapak tanah LKIM di Sandakan.

Pada program itu, Ronald turut meninjau rumah nelayan di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di Kampung Keniogan, Beluran. Ini adalah sebahagian daripada 200 buah rumah nelayan yang telah dan sedang dibaikpulih oleh LKIM di kawasan Beluran dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

Sebelum ini LKIM juga telah membaikpulih 152 rumah nelayan di kawasan Beluran.

Dalam majlis yang sama, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran turut menyampaikan Bantuan Persekolahan kepada 130 orang murid SK Keniogan yang telah disumbangkan oleh Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM). -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *