DAP Sabah tetap dengan Warisan tidak UMNO

KOTA KINABALU: DAP Sabah tidak berganjak daripada keputusannya bersekutu dengan rakan Warisan Plus dan tidak berbincang dengan Umno berhubung sebarang kemungkinan bekerjasama pada masa depan.

Frankie Poon, yang merupakan ketua parti negeri itu, berkata DAP Sabah tiada masalah untuk terus menjadi sebahagian daripada gabungan bekas gabungan pemerintah itu, yang turut merangkumi Warisan, Upko, PKR dan Amanah.

ADUN Tanjong Papat itu berkata, walaupun Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan membincangkan isu Umno itu di peringkat pusat, DAP Sabah sebaliknya mempunyai autonomi dan kebebasan untuk menentukan kerjasama politiknya di negeri itu.

“Pendirian kami masih sama (untuk bersama Warisan Plus). Bagi pihak Sabah, apa saja yang kami mahu lakukan, kami akan bincang langkah seterusnya dalam mesyuarat jawatankuasa negeri kami.

“Kami akan maklumkan CEC keputusan kami, tetapi kami tidak perlu mendapatkan kelulusannya,” katanya kepada FMT.

Poon berkata, isu kerjasama dengan Umno di Sabah tidak timbul.

“Jika perkara itu timbul, ia akan dibincangkan dalam jawatankuasa negeri kami, tetapi ia belum dibangkitkan. Buat masa ini, kami tidak mempunyai pendirian mengenai perkara ini dan saya tidak boleh keputusan sendiri.”

Poon ditanya jika DAP Sabah sedia bekerjasama dengan Umno, sebagaimana DAP Selangor menyuarakan keterbukaannya terhadap idea itu.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Ng Suee Lim dilaporkan berkata, parti itu terbuka kepada cadangan bekerjasama dengan Umno, tetapi berdasarkan prinsip parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Ng, yang juga ADUN Sekinchan, berkata apa saja mungkin berlaku, termasuk hubungan kerjasama antara DAP dan Umno, khasnya di bawah ketidaktentuan politik ketika ini. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *