Kerajaan GRS berjaya bawa pelaburan sebenar atasi kegagalan Warisan

KUALA LUMPUR – Pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan) sepatutnya memuji prestasi kerajaani Sabah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana telah berjaya menyelesaikan projek Kota Kinabalu Resort City bernilai RM7 billion.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, walaupun Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini menjadi saksi majlis menandatangani perjanjian awal projek itu namun bekas Ketua Menteri Sabah itu gagal meyakinkan pelabur.

“Sejak beberapa hari yang lepas pimpinan Warisan telah menyerang secara bertubi-tubi Kerajaan GRS kononnya telah mengambil kredit hasil projek yang telah dibawa masuk ke Sabah oleh Shafie Apdal dan Warisan.

“Harus diingat melalui fakta yang sahih selepas hampir 26 bulan Warisan Plus dan Mohd Shafie mengetuai pentadbiran Sabah, tidak ada satu pun syarikat yang berjaya melaksanakan projek berskala besar atau kecil.

“Sebagai contoh pada 28 September 2018, Mohd Shafie sendiri telah mengumumkan pelabur daripada China akan melabur RM2 bilion di Sabah dengan menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Namun sehingga kini projek yang diumumkan oleh bekas Ketua Menteri Sabah itu tersebut gagal dilaksanakan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lalu, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong mendakwa pelancaran Lok Kawi Resort City oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan inisiatif parti itu ketika memerintah di Sabah.

Menurut Wong, Muhyiddin cuba mengambil kelebihan daripada projek itu sedangkan upacara pecah tanah projek tersebut dilakukan oleh Warisan pada 2019.

Wong turut menyifatkan Lok Kawi Resort City hanya sebagai satu penjenamaan semula projek Kita Kinabalu Resort City yang diperkenalkan Warisan pada Mei 2019 dengan nilai pembangunan kasar RM7 bilion.

Dalam pada itu, banyak lagi Perjanjian Persefahaman (MoU) yang telah disaksikan sendiri oleh Mohd Shafie sebagai simbol kononnya pelabur luar dan dalam negeri akan dibawa masuk ke Sabah membabitkan pelaburan berbillion ringgit namun hakikat gagal.

“Pada Mac dan April 2019 Shafie sekali lagi mengumumkan Syarikat Burel Industries Sdn Bhd, Petrochemical Plant di POIC Lahad akan melabur dengan jumlah RM13 bilion dan RM20 bilion bagi industri kaca oleh syarikat dari China malangnya kedua syarikat terbabit juga gagal melabur di Sabah.

“Malah kadar pengangguran semakin meningkat di mana KDNK Sabah dalam tempoh dua tahun semasa Warisan Plus menjadi pemerintah di Sabah telah menjunam ke paras terendah sehingga 0.5 peratus,” katanya.

Sebaliknya Kerajaan GRS dalam masa beberapa bulan selepas memenangi PRN Sabah telah berjaya membawa masuk pelabur dari Korea dengan pelaburan bernilai RM2.3 bilion bagi membina kemudahan pengeluaran kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik (EV).

“Tidak mustahil dan kemungkinan juga boleh berlaku projek di Lok Kawi juga turut akan gagal sekiranya Warisan masih lagi menjadi parti pemerintah di Sabah kerana rekod telah menunjukkan sepanjang 26 bulan pelabur luar gagal membangunkan apa-apa projek di Sabah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published.