Pengorekan pasir memperdalam sungai atasi banjir kilat di Kota Belud
KOTA BELUD: Pengorekan pasir bagi memperdalam sungai di Kuala Abai telah dikenalpasti sebagai salah satu tindakan bagi mengatasi masalah banjir kilat, di sini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata muara sungai yang cetek adalah salah satu punca yang dikenal pasti sehingga menyebabkan banjir kerap berlaku di daerah ini.
“Kita akan memberikan kontrak mengorek pasir kepada kontraktor tempatan berwibawa serta berkebolehan dan bakal dilakukan sebagai usaha sama dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas melawat mangsa banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Tun Said Keruak, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Sr Safar Untong, ADUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak, ADUN Pintasan, Fairuz Renddan dan ADUN Tempasuk, Mohd Arsad Bistari.
Dalam pada itu, Hajiji turut berkata pihaknya akan mencari jalan terbaik dalam mencari langkah lain untuk mengatasi masalah banjir di sini.
Menurutnya, banjir sering berlaku di Kota Belud sebelum ini tetapi kini ia menjadi semakin kerap berlaku selepas insiden gempa bumi di Gunung Kinabalu beberapa tahun yang lalu.
Tamat