Program e-Nelayan dianjurkan LKIM Sabah memudahkan nelayan di Beluran

KOTA KINABALU : Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sabah melaksanakan program pendaftaran e-Nelayan untuk Subsidi Minyak dan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) pada Rabu lalu di Paitan.

Dimaklumkan bahawa daripada keseluruhan nelayan di kawasan Beluran yang sudah layak menerima subsidi minyak adalah 410 orang dan seramai 603 orang layak menerima bantuan elaun sara hidup.

Agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) ini mewujudkan inisiatif tersebut untuk membantu memastikan nelayan di Pulau Jambongan Beluran agar menerima bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Parlimen Beluran di Pentas Rakyat Pejabat Daerah Kecil Paitan.

Menurut Pengarah LKIM Negeri Sabah, Sundralingam a/l Nagaiah, dalam satu kenyataan, menjelaskan bahawa program yang dilaksanakan ini adalah untuk memudahkan pemberian ESHN ini kepada para nelayan di Pulau Jambongan tanpa perlu turun ke Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Beluran.

“Pada program ini, seramai 77 nelayan di Pulau Jambongan hadir untuk mendaftar Subsidi Minyak dan Elaun Sara Hidup Nelayan.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 75 nelayan berjaya didaftarkan untuk mendapat subsidi minyak dan seramai 60 nelayan berjaya didaftarkan untuk menerima elaun sara hidup RM300 sebulan,” jelasnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published.