Terus amalkan SOP ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri

KOTA KINABALU:  Ketibaan 1 Syawal yang akan diraikan pada Khamis ini, adalah satu tanda kemenangan kepada umat Islam selepas berpuasa selama sebulan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, walaupun tahun ini adalah kali kedua sambutan Aidlfitri diraikan dalam keadaan norma, tetapi ia bukan penghalang untuk menghayati makna perayaan itu, di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat di negeri ini untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, bagi memutuskan penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

“Rakyat juga harus memahami setiap tindakan kerajaan mengadakan sekatan seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau PKP ketika musim perayaan ini, ada sebabnya. Paling utama, semua tindakan ini adalah untuk mengekang dan memutuskan rantaian penularan pandemik ini.

“Kita juga kena akur bahawa penularan pandemik ini menyebabkan tiada lagi sambutan seperti dahulu yang mana kita bebas untuk bersalam dan mengunjungi rumáh terbuka saudara serta rakan. Tiada jalan lain, sebaliknya kita harus meraikan Aidilfitri dengan penuh SOP.

“Walaupun begitu, seperti perayaan lain, Aidilfitri akan terus menjadi tonggak perpaduan dan diraikan tanpa mengira bangsa serta agama. Semoga kita semua kekal selamat dan begitu juga orang sekelilling kita,” katanya dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 2021, di sini hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri melahirkan rasa syukur kerana kini Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)  berada di landasan yang tepat untuk melaksanakan semua pelan pembangunan di negeri ini.

“Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan sebelum bulan Ramadan oleh kerajaan GRS, sudah mula membuahkan hasil dengan beberapa pelaburan asing dan tempatan akan beroperasi di negeri ini.

“Dengan kerjasama semua pihak, saya yakin matlamat Halatuju SMJ dapat dicapai dalam masa lima tahun,” katanya.

Halatuju SMJ memfokuskan tiga sektor utama pertumbuhan ekonomi iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan, selain Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau. 

Sempena Aidilfitri ini, Hajiji turut meminta pengorbanan barisan hadapan dalam memerangi penularan COVID-19 janganlah dilupakan.

“Begitu juga anggota pasukan keselamatan kita yang tidak dapat bersama keluarga pada Aidilfitri ini, kerana bertugas  melindungi negara.  Kita berdoa mereka dijauhkan daripada bahaya dan terima kasih atas perkhidmatan yang diberikan.

“Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan kini berjalan lancar dan saya meminta kerjasama daripada semua pihak untuk mendapatkan suntikan vaksin itu. Kita mesti melawan pandemik ini dan menghentikannya daripada terus menjejaskan ekonomi dan kehidupan kita,” katanya.

Bagi pihak keluarga dan kerajaan negeri, beliau mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua rakyat di negeri ini. – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *