Sektor penternakan dipergiat bagi tingkat produktiviti, kukuhkan tahap sekuriti makanan negara – Ronald

SEGAMAT (Johor) – Sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sektor penternakan dipergiat untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara merentasi semua subsektor agromakanan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata segala permasalahan dan keperluan para pemain industri akan terus diberi perhatian oleh MAFI bagi memastikan hasil pengeluaran yang optimum sekaligus memperkasakan daya tahan sistem makanan negara.

Selari dengan itu, katanya, kerajaan juga telah melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara 2021-2025 dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 yang mempunyai pelbagai inisiatif dan insentif melalui strategi-strategi khusus telah dirangka oleh Kerajaan untuk membangunkan industri ruminan negara.

Beliau berkata kerajaan juga telah merancang beberapa program yang mampu memberi impak yang signifikan kepada industri ternakan negara termasuk Program Peningkatan Tenusu Negara, Program Peningkatan Ruminan, Rezeki Ternak Ruminan & Unggas dan Program Taman Kekal Pengeluaran Ruminan.

“Inisiatif-inisiatif yang dirangka akan memastikan tahap kesejahteraan pengeluar makanan subsektor penternakan dapat terus dipertingkatkan,” katanya menerusi satu kenyataan MAFI bagi Program Jelajah Dialog Industri Agromakanan 2022 (DIA2022) di Labis, hari ini.

Ronald berkata kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM1.07 juta pada tahun ini yang telah memanfaatkan seramai lapan peserta Program Penternak Kecil Projek Rintis Pembangunan Industri Tenusu Negara di sekitar Daerah Segamat.

Dalam pada itu, pada program DIA2022 itu, seramai 13 orang penternak muda telah menerima bantuan Program Transformasi Belia Ternak Daerah Segamat berjumlah RM95,200.

Program DIA2022 pada kali ini telah dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) di Labis, Johor bagi mendapatkan input, idea, pandangan dan cadangan daripada pemain industri untuk bersama-sama membangunkan industri penternakan yang mampan dan berdaya maju ke arah kelestarian makanan negara selaras dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0).

Hadir sama, Timbalan Menteri II MAFI Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Veterinar Malaysia Dr Suratan Kamarudin -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *