Penggunaan katil ICU seluruh negara cecah 91 peratus

PUTRAJAYA: Hospital merawat pesakit COVID-19 kini berada pada tahap kritikal, dengan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) seluruh negara telah mencecah 91 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata malah penggunaan katil ICU di Lembah Klang sudah mencapai 113 peratus, justeru kementerian sedang mengesan ruang tertentu yang boleh digunakan sebagai wad ICU sementara.

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil langkah menambah peralatan, ubat-ubatan dan bahan berkaitan.

“Kita juga dalam proses mengubah wad pemerhatian di Jabatan Kecemasan dan jabatan harian untuk dijadikan wad ICU.

“Selain itu, kita sudah menambah ICU medan di Hospital Kepala Batas,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, hari ini.

Bagi memaksimumkan penggunaan katil di Lembah Klang, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya mempunyai sistem untuk mengetahui kekosongan terbabit di hospital berkaitan.

“Kita ada ‘unify command’ dan dapat mengetahui jika ada kekosongan berkenaan di hospital kementerian, hospital angkatan tentera, hospital universiti serta swasta.

“Sekiranya ada kekosongan katil di hospital itu, kita akan menghantar pesakit yang memerlukan ke sana.

“Ini bagi membantu kesepaduan penggunaan katil di Lembah Klang,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *