Bahas usul tuntutan Sulu boleh dedahkan strategi litigasi negara

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, sekali lagi menegaskan pendiriannya bahawa isu tuntutan waris Sultan Sulu adalah bersifat subjudis dan tidak boleh dibahaskan di Dewan Rakyat.

Beliau menjelaskan, membahaskan usul berkenaan boleh mendedahkan strategi pasukan perundangan kerajaan kepada pihak musuh.

“Adakah kita mahu semasa kita membahaskan perkara ini, saya tidak tahu apa yang akan diperkatakan, strategi kerajaan didedahkan, dan ada kritikan mengenainya.

“Kemudian pihak lain boleh belajar (strategi negara), adakah ia tidak menjejaskan kepentingan kerajaan dalam prosiding litigasinya? Adakah kita mahu menunjukkan strategi kita kepada dunia?

“Peraturan litigasi pertama ialah unsur kejutan, begitu juga peraturan pertama perang. Jadinya, adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan strategi kerajaan tidak didedahkan kepada pihak luar,” katanya.

Kenyataan itu dibuat Azhar semasa memberi penjelasan terhadap pertanyaan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) pada sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini, yang mempersoal keputusan Azhar menolak usul supaya tuntutan kumpulan Sulu itu dibahas di Parlimen atas alasan subjudis pada Isnin lalu.

Azhar berkata, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36 (2), tidak boleh disebutkan apa-apa perkara yang sedang dalam timbangan mahkamah sekiranya pada timbangan Pengerusi harus merosakkan kepentingan-kepentingan pihak yang berbicara itu.

Justeru, Azhar berkata, menjadi tanggungjawabnya untuk tidak membenarkan perkara itu berlaku.

“Peraturan pertama litigasi adalah unsur kejutan, peraturan pertama perang pun sama. Ini kita sedang mempertahankan kedaulatan kita, ahli-ahli Yang Berhormat merungut kita tidak mempertahankan kedaulatan. Kita sedang mempertahankan dan kita nak dedahkan strategi kita kepada orang lain? Mahukah kita berbuat begitu?,” katanya.

Terdahulu, menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Ahli Dewan Rakyat diberikan penjelasan terperinci daripada Kementerian Luar mengenai isu itu, Azhar berkata perkara berkenaan pada pandangannya adalah subjudis.

“Isu yang ditangani di mahkamah di Sepanyol dan Paris antara lain berbangkit daripada pemberhentian bayaran yuran (pampasan). Yang Berhormat Ketua Pembangkang mengatakan bahawa pemberhentian bayaran tersebut telah menyebabkan kita kalah.

“Adalah terang isu tersebut ialah isu teras dalam litigasi di Sepanyol dan Paris serta prosiding arbitrasi tersebut, jadi ia tertakluk kepada pertikaian dan pembentangan hujah dalam proses-proses litigasi tersebut, maka ia subjudis pada pendapat saya,” katanya.

Pada 12 Julai lalu, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bertarikh 28 Feb 2022 yang dikeluarkan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa berikutan tuntutan kumpulan Sulu melalui satu prosiding timbangtara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

Sebelum ini, dilaporkan aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas oleh kumpulan Sulu, yang dikatakan menuntut US$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Langkah itu yang pertama kali dilaporkan adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh kumpulan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *