Projek Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 2 dijangka siap 2028

KUALA LUMPUR: Pembinaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Fasa 2 (Sarawak) dari Limbang ke Lawas akan bermula semula tahun ini dan dijangka siap pada 2028, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata kerajaan memberi komitmen akan mengutamakan jajaran itu yang objektifnya adalah untuk melancarkan trafik tanpa melalui Brunei.

“Projek ini telah mendapat kelulusan secara prinsip pada mesyuarat Kabinet 4 Mac lepas,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi mengenai status terkini Fasa 2 Projek Pan Borneo Sarawak yang dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, dan perkembangan terkini susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Februari lepas bahawa kerajaan akan mencari jalan untuk meneruskan pembinaan projek tersebut.

Semasa lawatan Perdana Menteri ke Brunei pada 14 dan 15 Feb lepas, kerajaan bersetuju untuk meluluskan beberapa projek berimpak tinggi termasuk pelaksanaan jajaran Trans Borneo merangkumi jajaran Fasa 2 LPB Sarawak dan Fasa 2 jajaran Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) yang merupakan kesinambungan Fasa 1.

Arthur berkata status pelaksanaan keseluruhan Fasa 1 projek LPB Sarawak sepanjang 786 kilometer, sehingga Januari lepas adalah 78 peratus siap.

Beliau berkata terdapat beberapa pakej dalam projek itu akan mengalami sedikit kelewatan ekoran pandemik COVID-19 dan anggaran tarikh siap dijangka melangkaui suku pertama 2023.

“Namun, pihak kementerian dan JKR Sarawak akan sentiasa memantau dan melaksanakan pelbagai pelan mitigasi termasuk penyelarasan semula jadual pembinaan dan lanjutan masa, bagi memastikan kelancaran beberapa pakej dalam projek ini supaya tarikh penyiapan tidak terlalu jauh daripada tarikh asal,” katanya.

Beliau berkata kementerian turut mengambil langkah proaktif memantau prestasi kemajuan secara berterusan melalui lawatan berkala dan sesi libat urus bersama kontraktor serta perunding terlibat.

Ini adalah untuk mengenal pasti keberkesanan tindakan mitigasi dan penambahbaikan yang boleh diambil bagi memastikan kelancaran pelaksanaan Projek LPB Sarawak, katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *