Hak dan perjanjian dalam Batu Sumpah Keningau akan terus dilindungi

KOTA KINABALU: Kerajaan berpandangan bahawa tiada keperluan untuk membangkitkan kebimbangan terhadap perkara dan hak kebebasan beragama, penguasaan tanah dan penghormatan adat istiadat anak rakyat Sabah dan Sarawak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata hak dan perjanjian terbabit akan terus dilindungi.

“Hak-hak ini dan perjanjian tersebut akan terus dilindungi dalam status terjamin di bawah perlembagaan Malaysia dan undang-undang negeri Sabah dan Sarawak serta dasar berkaitan yang sedia ada.

“Jika terdapat penyalahgunaan kuasa yang menjejaskan kebebasan ataupun mengakibatkan tindakan zalim oleh mana-mana pihak ke atas hak-hak asas yang dijamin oleh undang-undang seperti yang termaktub di atas Batu Sumpah Keningau, maka perkara-perkara tersebut boleh dibawa untuk pengadilan atau dibangkitkan di dewan ini atau Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk tindakan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Lim Kit Siang (DAP – Iskandar Puteri) mengenai jangka masa dan rancangan kerajaan membentangkan janji yang termaktub dalam Batu Sumpah Keningau kepada Dewan Rakyat untuk diangkat sebagai asas dasar kerajaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai Batu Sumpah Keningau, Maximus berkata ia merupakan monumen dengan nilai sejarah tinggi dan berkait rapat dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ianya telah didirikan oleh pemimpin tempatan pada tahun 1964 mengikut kepercayaan sistem adat anak negeri Sabah di daerah Keningau setelah Sabah bersetuju untuk membentuk dan menjadi rakan sekutu dalam pembentukan Malaysia.

“Batu Sumpah tersebut mengandungi catatan mengenai hak kebebasan beragama, tanah-tanah dalam Sabah dikuasai oleh kerajaan Sabah dan adat istiadat anak rakyat Sabah dihormati dan dipelihara oleh kerajaan.

“Tiga janji-janji yang tertera pada Batu Sumpah tersebut pada umumnya telah pun termaktub sebagai antara hak-hak yang dijamin bagi negeri Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.