Selamat tinggal, New Sabah Times

KOTA KINABALU: New Sabah Times yang merupakan antara penerbit surat khabar tempatan tertua di negeri ini akan mencetak akhbar terakhirnya esok sebelum menutup operasi pada akhir bulan ini.

Media sebelum ini melaporkan Pengarah Urusannya, Felix Gusti, akhbar yang telah bermula sejak tahun 1949 itu pada awalnya dijadualkan ditutup pada 20 Disember namun syarikat mahu menamatkannya pada 31 Disember.

Ini berikutan kos operasi adalah terlalu tinggi walaupun jika akhbar itu dicetak pada jumlah lebih sedikit.

Bekas wartawan kanan dan juga kolumnis sastera New Sabah Times, Yatim Ahmad, 57 ketika dihubungi Suara Sabah Today berkata
perasaannya bercampur baur apabila mendengar berita mengenai penutupan operasi akhbar terbabit.

“Sebagai wartawan memulakan kerjaya kewartanan di Kinabalu Sabah Time, pelukis kolum kartun ‘Senyum Sumbing’ pada 1980-an wartawan penuh dan berpindah di beberapa akhbar lain sebelum balik ke sana selepas penjenamaan semula sebagai New Sabah Times, saya berasa sedih dan terharu.

“Walaupun saya berhenti di New Sabah Times pada tahun 2008 selepas berkhidmat 10 tahun sejak ia dibuka semula, namun kemudian saya ditawarkan posisi sebagai kolumnis sastera yang dibayar honorarium.

“Saya berharap semua rakan lain di sana mempunyai ruang luas dan peluang dalam pekerjaan lain,” katanya.

Menyelusuri sejarah akhbar terbabit, New Sabah Times ditubuhkan oleh Tun Fuad Stephens yang kemudiannya dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang pertama.

Kemudian, New Sabah Times melalui beberapa penjenamaan selepas 70 tahun di mana ia dinamakan semula kepada North Borneo News & Sabah Times dan Kinabalu Sabah Times sebelum kembali kepada jenama New Sabah Times.

Sebelum ini, New Sabah Times telah menghentikan cetakan pada 1995 dan kemudian dihidupkan semula selepas tiga tahun.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *