UMS main peranan bantu pelajar, rakyat dan kerajaan negeri ketika berdepan pandemik COVID-19

KOTA KINABALU: Walaupun berdepan dengan cabaran menghadapi pandemik COVID-19, Universiti Malaysia Sabah (UMS) memainkan peranan membantu pelajar dan rakyat serta turut membantu kerajaan negeri mengawal penularan COVID-19.

Canselor UMS, Tun Juhar Mahiruddin berkata UMS sebagai sebuah institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan bukan sahaja telah membantu para graduan dan masyarakat di luar sana malah berterusan menawarkan ilmu dan kepakaran terhadap usaha kerajaan negeri mengawal penularan COVID-19.

“Kita juga bersyukur kerana proses pengajaran dan pembelajaran masih dapat dilaksanakan dengan menggunakan kaedah secara dalam talian.

“Sesuai dengan amalan norma baharu disebabkan COVID-19, UMS telah berjaya melaksanakan pendaftaran pelajar baharu secara dalam talian.  

“Pada semester pertama, sesi 2020/2021 ini, UMS telah menerima seramai 4,972 pelajar baharu yang terdiri dari 3,973 orang pelajar pra-siswazah, 567 pelajar pasca-siswazah, dan 432 orang pelajar Program Asasi yang telah mendaftar secara atas talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perisytiharan Konvokesyen UMS Ke-22 Tahun 2020 secara langsung dalam laman media sosial rasmi Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, Juhar turut berkata sepanjang pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP), UMS telah berjaya memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar yang berada di dalam kampus dan kawasan sekitar kampus sentiasa terjaga.

“Pelbagai bantuan telah diberikan kepada pelajar termasuk wang tunai, makanan, sokongan moral dan psikologi, pengurangan caj yuran asrama, serta perkhidmatan kesihatan.  

“UMS juga telah berjaya memastikan para pelajar pulang ke kampung halaman mereka masing-masing dengan selamat melalui โ€œOps Gerak Malaysia Pelajar IPTA/IPTS Zon Sabahโ€ pada 6 Mei hingga 4 Jun lepas.

“Sebagai tanda keperihatinan dan hasrat untuk membantu para pelajar yang memerlukan, UMS telah melancarkan bantuan โ€œUMS Prihatinโ€ yang menawarkan bantuan My Care sebanyak RM 200 bantuan Pinjaman Jangka Pendek sebanyak 500 ringgit, bantuan Pelan Data kepada 1,700 orang pelajar kategori B40, bantuan komputer riba, dan pengurangan yuran pengajian sebanyak RM51 kepada semua pelajar UMS,” katanya.

Juhar ketika berucap turut memperincikan sumbangan UMS kepada kerajaan negeri dan agensi di bawahnya.

“Penyelidik UMS telah membantu menghasilkan cecair pensanitasi tangan COVINIZER, alat pelindung muka COVI-Pro, dan โ€œCOVID Sampling Chamberโ€ yang telah disumbangkan kepada petugas barisan hadapan termasuk hospital dan pasukan keselamatan.

“Fasiliti penyelidikan di UMS telah juga dimanfaatkan untuk membantu kerajaan negeri menghadapi wabak COVID-19 apabila UMS membantu melakukan lebih 4,000 ujian saringan untuk mengesan COVID-19.

“Ujian yang dilakukan di UMS itu telah membolehkan keputusan ujian sampel COVID-19 diperolehi dengan lebih cepat dan membantu kerajaan negeri mengurangkan tempoh masa menunggu ke atas sampel yang hendak diuji,” katanya.

Juhar turut menyatakan harapannya agar UMS akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri dan persekutuan serta memberikan sumbangan positif dalam usaha mengatasi penularan COVID-19.

Sementara itu, Juhar turut mengucapkan tahniah kepada 4,639 graduan UMS yang telah menamatkan pengajian dalam majlis berkenaan.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *