Perpustakaan Islam Negeri Sabah bakal dilancarkan tahun ini

KOTA KINABALU: Perpustakaan Islam Negeri Sabah dijangka bakal dilancarkan pada bulan Ramadan tahun ini.

Menteri Tugas Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata semua bahan berbentuk buku yang akan dimuatkan di dalam perpustakaan terbabit telah dikumpulkan oleh pihaknya.

“Tahun ini semua buku sudah dikumpul untuk dijadikan sebagai bahan dalam perpustakaan terbabit.

“Malah, kaligrafi khat juga telah kita sediakan untuk diletakkan di dalam galeri Perpustakaan Islam ini.

“Insya-Allah Perpustakaan Islam akan dibuka pada tahun ini dalam anggaran tiga hingga empat bulan akan datang. Mungkin pada bulan Ramadan kita akan lancarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Majalah Nadi Rahmah SMUITPHR bertempat di Dewan Madani, Wisma MUIS, di sini, semalam.

Mengulas mengenai majlis pelancaran terbabit, penerbitan Majalah Nasi Rahmah adalah sebagai usaha pihaknya bersama alumni Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) Toh Puan Hajjah Rahmah tahun 70 sehingga 90-an untuk merakam kisah perjuangan dan pemikiran Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun serta isterinya Allahyarhamah Toh Puan Hajjah Rahmah.

“Saya meminta supaya diperbanyakkan usaha untuk membuat buku atau catatan berhubung dengan pemikiran Tun Datu Mustapha kerana beliau merupakan Bapa Kemerdekaan Sabah.

“Pemikiran dan perjuangan Allahyarham Tun perlu kita hayati, cerna dan hadam kerana ia akan menjadi teladan kepada generasi akan datang kerana sejarah perjuangannya wajar untuk dipelajari.

“Ini kerana ia berkait dengan hubungan dakwah, pendidikan, siasah, hubungan dengan Semenanjung Malaysia dan negara Malaysia.

“Perjuangannya juga bersifat luar biasa kerana beliau merupakan jambatan kepada dakwah dan pemimpin Islam antarabangsa,” katanya.

Arifin turut menjelaskan majalah terbabit mempunyai 40 muka surat dan diterbitkan secara berkala.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.