Srikandi Bersatu Sabah optimis mempertahan enam buah kerusi Parlimen

KOTA KINABALU : Enam kerusi Parlimen sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) tahun lalu akan dipertahankan oleh parti Bersatu Sabah, kali ini.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun, yang mengetuai mesyuarat bulanan Srikandi Bersatu Sabah di Alamesra semalam (09 Ogos) menegaskan kewajaran Bersatu untuk mempertahankan enam kerusi tersebut.

“Srikandi Bersatu Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi dimenangi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan sewajarnya mempertahankan kerusi dimenangi,” tegasnya.

Enam kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU14 itu ialah Kudat, Ranau, Beaufort, Sipitang, Beluran dan Libaran yang diwakili oleh Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Beaufort); Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat); Yamani Hafez Musa (Sipitang); Datuk Jonathan Yassin (Ranau); Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Edris (Libaran).

Azizah menyeru agar barisan Srikandi Bersatu Sabah untuk terus memberi bantuan, semangat dan kerjasama terutama dalam membina kekuatan jentera dalam pilihan raya yang akan datang.

Azizah turut mengingatkan untuk semua kekuatan jentera dari semua peringkat cawangan dan kawasan untuk mendekati anak – anak muda terutama dalam memberi kesedaran untuk turun mengundi serta memahami keperluan semasa mereka.

“Kita mesti merancang pelbagai strategi untuk memikat hati pengundi-pengundi muda ini,” jelasnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *