Kerajaan negeri beri jaminan daging import di Sabah tidak berkaitan kartel daging

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi jaminan bahawa semua daging import yang dibawa masuk ke Sabah tidak berkaitan dengan kartel daging

Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif berkata tiada sebarang laporan diterima berkaitan isu kartel daging di Sabah setakat ini dan menjelaskan daging import dalam pasaran negeri ini dibawa masuk terus ke Sabah serta tidak melalui Semenanjung Malaysia.

“Oleh itu, saya harap rakyat Sabah tidak khuatir dan bimbang kerana agensi penguatkuasaan sentiasa menjalankan pemantauan.

“Jika ada sebarang keraguan atau apa-apa kemusykilan, orang ramai boleh merujuk kepada JHEAINS.

“Kita tidak akan berkompromi sebab tidak mahu rakyat ragu-ragu dan sentiasa menerima bahan yang halal,” katanya ketika ditemui selepas Operasi Bersepadu berkaitan Isu Kartel Daging, semalam.

Dalam pada itu, Arifin turut berkata Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bakal menubuhkan hab halal bagi mengendalikan semua perkara berkaitan halal di Sabah.

Katanya, selain sebagai pemudah cara, hab halal terbabit turut berperanan menyalurkan maklumat berkaitan kesedaran halal.

“Dengan adanya hab halal MUIS dengan bantuan jabatan yang berkenaan, kita akan lebih mudahkan rakyat untuk membuat rujukan, mendapat informasi serta rakyat mudah mendapat persijilan halal,” katanya.

Sementara itu, Arifin juga menjelaskan terdapat sembilan syarikat diiktiraf sebagai pengimport daging halal selain 31 pengedar yang mendapat pengesahan sijil halal dan sentiasa dipantau dari semasa ke semasa di Sabah.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published.