Sandakan jadi bandaraya menjelang 22 Feb 2022
SANDAKAN: Hasrat untuk menjadikan Sandakan sebagai sebuah bandaraya bakal direalisasikan pada 22 Februari 2022.
Timbalan Ketua Menteri Sabah I Dato’ Sri Bung Moktar Radin berkata hasrat untuk menjadikan Sandakan sebagai sebuah bandaraya telah tertangguh sejak 2018.
“Dengan adanya usaha-usaha yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bagi memperolehi pendapatan lebih RM100 juta setiap tahun mampu merealisasikan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat MPS di Dewan Persidangan MPS, petang Jumaat.
Taklimat itu telah disampaikan oleh Presiden MPS Wong Foo Tin.
Turut hadir, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Haji Mohd Hamsan Haji Awang Supain,
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila Mokran Ingkat dan ADUN Negeri Sabah (Dilantik) Suhaimi Nasir.
Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata hasrat MPS bagi menjadikan Sandakan sebagai sebuah bandaraya akan mampu dilaksanakan berdasarkan usaha berterusan MPS.
“Saya telah syorkan tarikh pengisytiharan bandaraya ini pada 22 Februari 2022,” katanya.
Beliau menjelaskan dengan menjadikan Sandakan sebagai bandaraya baharu ini akan meningkatkan ekonomi rakyat dan tingkatkan aktiviti perniagaan di Sandakan serta sekitarnya.
“Ini perlu perancangan yang rapi untuk memastikan bahawa bandaraya ini akan sentiasa hidup.
“Kita tidak mahu bandaraya menjadi bukan satu tarikan orang,” katanya.
Bung Moktar berkata Sabah juga perlu bersedia menerima pengunjung baharu iaitu penduduk daripada Kalimantan, Indonesia di mana negara Indonesia akan memindahkan Ibu Negaranya dari Jakarta ke Kalimantan.
“Kita target 4 juta penduduk Kalimantan ini akan berkunjung ke Sabah.
“Oleh itu, apa persediaan masyarakat Sandakan untuk memastikan pengunjung dari Kalimantan ini berkunjung semula ke Sandakan,” katanya.
Bung Moktar memberitahu sekiranya ada daya tarikan untuk pengunjung ini seperti fasiliti sukan, hospital bertaraf 5 bintang, pusat peranginan, pusat membeli belah dan sebagainya akan menjadi tarikan.
Dalam pada itu, beliau juga telah meminta Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin supaya memanggil semua operator pelancongan di Sandakan untuk berbincang bagaimana tingkatkan prasarana di pusat pelancongan mereka.
“Mungkin mereka ada idea-idea baharu untuk diketengahkan sebagai tarikan pelancong baharu ย agar pelancong yang datang semula ke Sabah khususnya Sandakan,” katanya. – Utusan Borneo Online