Lebih 7,000 PATI diusir sejak GRS terajui Sabah

KOTA KINABALU: Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, hampir 7,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) diusir dari Sabah sejak ia diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, kerajaan negeri pimpinan Hajiji Noor sentiasa menegaskan semua warga asing perlu melalui proses imigresen sah dan mematuhi lunas perundangan ditetapkan untuk tinggal di Sabah.

“Berdasarkan rekod dari 1990 hingga Mac 2021, lebih 600,000 PATI, terutamanya dari Filipina dan Indonesia diusir dari Sabah, termasuk hampir 7,000 PATI yang diusir sepanjang pentadbiran kerajaan negeri baharu di bawah pimpinan Hajiji.

“Dokumen perjalanan warga asing yang sah amat penting ketika ini bagi menjayakan inisiatif kerajaan mengekang pandemik Covid-19 melalui vaksinasi kepada semua pihak, termasuk warga asing yang terlibat sektor ekonomi dalam negara,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Hamzah berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan khas RM500,000 bagi memantapkan pengoperasian Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esszone) selepas lawatan ketua menteri baru-baru ini.

Katanya, KDN menerusi semua agensi dan jabatan di bawahnya akan terus memperkasakan aset keselamatan negara serta dasar kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keamanan dan keselamatan Sabah terjamin.

Terdahulu, beliau merakamkan penghargaan kepada Hajiji yang menerima kunjungan hormat delegasi KDN di pejabat ketua menterinya pagi tadi.

Katanya, kunjungan hormat itu antara lain membincangkan isu keselamatan dalam negeri dan kedaulatan Sabah, khasnya berhubung masalah PATI yang menjadi kebimbangan rakyat Sabah. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published.