Sabah rayu Persekutuan usah tangguh projek – Hajiji
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan membuat rayuan sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu menangguh atau tidak meneruskan mana-mana projek belum bermula, terutama membabitkan projek pembangunan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia kerana Sabah ketika ini memerlukan peruntukan besar bagi membangunkan negeri, terutama membabitkan pembangunan infrastruktur awam untuk memberi keselesaan kepada rakyat.
Setakat ini, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan tiada memaklumkan secara rasmi kepada kerajaan negeri mengenai penangguhan atau tidak meneruskan mana-mana projek pembangunan.
Namun, beliau memberi jaminan akan membuat rayuan sedaya upaya bagi memastikan projek itu diteruskan sekiranya makluman berkenaan diterima.
“Ini amat penting kerana kita pun selalu menyatakan peruntukan diberikan tidak cukup. Kalau tidak cukup, tarik atau tangguh balik (peruntukan), ini tidak berapa sesuailah di Sabah…kita akan merayu jika sudah sampai (diberitahu secara rasmi),” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (BN-Usukan) mengenai laporan menyatakan Kerajaan Persekutuan akan menangguhkan atau tidak meneruskan mana-mana projek yang belum bermula sebagai langkah penjimatan perbelanjaan awam.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, dilaporkan berkata langkah itu merupakan sebuah penjimatan perbelanjaan awam bagi membolehkan dana disalurkan untuk kesejahteraan rakyat dan usaha memulihkan ekonomi negara.
Sementara itu menjawab soalan asal Datuk Rubin Balang (Bebas-Kemabong) mengenai pendekatan kerajaan negeri untuk meningkatkan ekonomi rakyat serta negeri pula, Hajiji berkata, pelbagai usaha menarik pelancong bagi meningkatkan ekonomi, telah membuahkan hasil.
Beliau berkata, Sabah menerima peningkatan kemasukan pelancong yang ketara untuk tempoh lima bulan pertama tahun ini, iaitu 558,169 orang berbanding 102,965 orang dalam tempoh sama tahun lalu.
“Saya yakin, angka ini akan meningkat lagi menjelang hujung tahun ini berikutan pembukaan semula pintu masuk darat, laut dan udara.
“Dengan kehadiran pelancong ini, sudah tentu sektor perkhidmatan dan yang berkait seperti hotel, pengangkutan dan makanan, akan cepat pulih seperti biasa. Ini juga membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan negeri memulihkan ekonomi melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya,” katanya. – BERNAMA