ARMADA Sabah gesa beri peluang peniaga kecil cari rezeki: Fairuz

KOTA KINABALU: Ketua ARMADA Bersatu Sabah, Fairuz Renddan menyeru pihak berkuasa tempatan untuk memberi kebenaran pembukaan semula jualan peniaga kecil dengan syarat dan peraturan yang bersesuaian dalam bulan Ramadhan ini.

Katanya, keadaan semasa ekonomi yang terjejas akibat daripada penularan pandemik COVID19 sudah cukup memberikan kesan besar terhadap sumber pendapatan peniaga-peniaga kecil.

“ARMADA merasakan keperitan peniaga-peniaga kecil yang mengeluh dan bersedih di atas arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan tertentu yang tidak membenarkan mereka untuk berniaga atas sebab peningkatan kes COVID19 dan pematuhan SOP.

“Saya juga faham akan bahaya pandemik COVID19 ini, namun, sebagai individu yang memang dekat dengan rakyat dan melihat sendiri perit jerih rakyat bergelut dengan keadaan semasa, pematuhan SOP, hasil jualan merosot dan banyak lagi, adalah baiknya jika mereka diberikan pilihan dan peluang untuk mencari rezeki, berdasarkan kepada syarat dan arahan serta pemantauan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Fairuz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut Fairuz, peniaga-peniaga kecil yang berjual khasnya jualan makanan di bulan Ramadan boleh diberi peluang dengan disediakan kawasan yang bersesuaian.

“Kawasan ini adalah kawasan yang bersesuaian yang ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan dan di kawasan ini, boleh disusun jarak gerai yang sesuai mengikut pematuhan SOP dan penjarakan sosial, ada laluan masuk dan keluar yang khas, seperti jalan sehala dan boleh bekerjasama bersama pihak RELA dan petugas keselamatan lain untuk memantau pematuhan SOP para penjual dan pengunjung yang datang membeli juadah.

“Selain itu, keutamaan juga wajar diberikan kepada peniaga-peniaga kecil yang sememangnya hanya bergantung harap kepada sumber pendapatan daripada perniagaan juadah makanan” tambah Fairuz.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak khasnya masyarakat dalam komuniti untuk terus mengamalkan semua peraturan dan patuh dengan SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Malaysia (MKM).

“Kita masih bergelut dengan pandemik COVID19, musuh yang tidak kelihatan, jadi kita perlu terus kuat, sabar dan patuh dengan semua arahan demi diri kita, keluarga kita, komuniti kita, negeri kita, negara kita dan seluruh dunia,” ujar beliau lagi. – New Sabah News

Leave a Reply

Your email address will not be published.