Hajiji: Cadangan tapak kediaman di Kawang, Beringis sudah diwarta

KOTA KINABALU: Pelan warta untuk Cadangan Tapak Kediaman Anak Negeri Kampung Kawang dan Kampung Beringgis telah disediakan oleh Jabatan Tanah dan Ukur pada 3 Dis 2021.

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata, Tapak Kediaman Anak Negeri Kampung Beringgis adalah seluas 48.100 hektar, manakala Tapak Kediaman Anak Negeri Kampung Kawang seluas 80.937 hektar.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya dan menjawab soalan Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (PN-Kawang) mengenai penyelesaian isu tanah di kawasan DUN Kawang.

Isu tanah terutama berkaitan pengeluaran geran khususnya rizab perkampungan dan geran tanah untuk anak negeri turut dibangkitkan oleh Wakil Rakyat dari kawasan DUN Telupid, Pintasan, Kapayan dan Silam.

Hajiji berkata Program Perkhidmatan Khas Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur telah berjaya mempercepatkan pengukuran dan pengeluaran geran-geran tanah anak negeri.

Sehingga kini, katanya, sejumlah 27,200 lot yang diduduki dan diusahakan secara turun-temurun oleh Anak Negeri Sabah dengan keluasan 44,205.77 hektar, melibatkan 135 buah kampung dari 21 daerah di negeri Sabah telah selesai diukur.

Katanya, peratus tanah anak negeri yang diberi milik telah meningkat melalui pelaksanaan PANTAS.

Pada tahun 2012, luas pemilikan geran tanah anak negeri adalah 550,988 hektar atau 26.8% daripada jumlah tanah yang diberi milik.

Manakala jumlah luas pemilikan geran tanah anak negeri pada tahun 2021 telah meningkat kepada 1,135,116 hektar atau 42.7% daripada jumlah tanah yang diberi milik.

Sementara itu, Ghulam yang juga Pengarah Yayasan Sabah mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Menteri atas perwartaan tanah yang dipohon penduduk di kawasan DUN Kawang.

“Mewakili penduduk terlibat, kita ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada kerajaan negeri atas tindakan tindakan proaktif, bagi membantu penduduk tempatan.

“Tidak syak lagi, dengan pewartaan tanah ini menjadi khabar gembira buat penduduk terlibat yang akan dapat membangunkan kawasan mereka tanpa rasa bimbang,” katanya. -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published.