Nafuzi tekad ‘lemaskan’ Sabah di Likas

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain enggan memikirkan status dan kebangkitan yang dijelmakan skuad Sabah FC yang kini dilihat antara pencabar terkuat dalam saingan Liga Super musim ini.

Beliau juga tidak mahu peduli dengan kehadiran ramai bekas pemain skuad kebangsaan dalam skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu apabila bakal bertembung pada aksi Liga Super di Stadium Likas, malam esok.

Sebaliknya jurulatih kelahiran Kelantan berusia 44 tahun itu lebih terarah untuk memikirkan strategi terbaik pasukannya untuk ‘melemaskan’ skuad Sang Badak bagi mengutip tiga mata walaupun mengakui tugas sukar bakal dilalui anak buahnya.

“Biarpun sedar TFC bakal berdepan dengan tugas sukar lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan selain skuad itu antara pasukan yang bagus musim ini sebagaimana kedudukan kedua liga, tapi saya tetap percaya dan berkeyakinan dengan kemampuan pemain yang saya ada.

“Lagipun saya tidak mahu memikirkan status skuad itu yang dibarisi pemain berpengalaman, sebaliknya apa yang penting saya perlu membuat persiapan dan perancangan terbaik buat pasukan.

“Saya meletak harapan yang tinggi untuk memburu tiga mata berhasil, jadi pemain perlu bersedia daripada segi fizikal dan mental, kerana kita tahu kebangkitan lawan selain sokongan padu daripada penyokong mereka,” katanya.

Ketika ditanya adakah beliau bakal melakukan rombakan ke atas pasukannya dengan menyenaraikan semula penyerang kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche, Nafuzi belum memutuskan lagi kesebelasan utama skuadnya.

“Tchetche mengalami sedikit kecederaan, begitu juga penjaga gol, Rahadiazli Rahalim yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, jadi saya perlu mengambil kira situasi itu kerana misi kita adalah untuk rakam kemenangan,” katanya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *