PKPD di dua lokaliti Sabah, satu di Sarawak dilanjutkan sehingga 9 Mei – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di daerah Tawau, Sabah dan satu lokaliti di Matu, Sarawak dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 9 Mei depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia diputuskan selepas penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapati masih terdapat penularan secara berterusan dalam komuniti.

“Kesemua PKPD di kesemua lokaliti itu sepatutnya tamat esok,” katanya pada kenyataan media di sini, pada Sabtu.

Dua lokaliti di Tawau adalah Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan manakala satu lokaliti di Sungai Passin, Matu, Sarawak.I

smail Sabri menjelaskan, daripada 607 ujian saringan yang dijalankan di dua lokaliti di Tawau, 81 kes disahkan positif.

Sementara di Sungai Passin pula, sebanyak 442 ujian saringan dijalankan dan daripada jumlah itu 49 kes didapati positif COVID-19.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan PKPD di enam lokaliti di daerah Tawau, Sabah membabitkan Taman Cahaya, Jalan Tengku Osman, Kuarters Bomba Tawau, Jalan Mesra, Taman Golden Hill dan Taman Sri Bukit ditamatkan esok seperti yang dijadualkan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan baki kes aktif di kesemua lokaliti tersebut menunjukkan trend penurunan dan baki kes positif menerima rawatan serta kontak rapat diasingkan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di keenam-enam lokaliti seperti yang dinyatakan pada 25 April 2021 seperti yang dijadualkan,” tambahnya – AWANI

Leave a Reply

Your email address will not be published.