Beri ‘suapan’ kepada polis, lelaki Pakistan didenda dan dipenjarakan

Oleh: Mazeenal Jamali

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warganegara Pakistan di denda sebanyak RM20,000 dan dua hari penjara kerana memberikan rasuah sejumlah RM1,000 kepada pegawai Polis Di Raja Malaysia.

Hakim Mahkamah Khas Rasuah, Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mujahid Ali Aman Ullah, 41 tahun selepas beliau mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan terhadapnya semasa sebutan kes berkenaan.

Untuk kesalahan pertama, Mujahid mengaku telah bersubahat dengan Sharif Ud Din, 39 memberikan suapan RM500 kepada seorang Penolong Penguasa Polis, yang bertugas di Bahagian Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang disyaki telah melakukan kesalahan memiliki sejumlah rokok pelbagai jenis tanpa cukai pada 22 April tahun lalu jam 10.30 pagi bertempat di Shahid Enterprise.

Bagi kesalahan kedua Mujahid telah bersubahat dengan Sharif memberikan suapan RM1,000 kepada seorang Konstabel Polis yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal Bahagian Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti juga sebagai dorongan yang sama. Kesalahan itu berlaku pada 23 Mac tahun lalu jam lebih kurang 12.30 tengahari di tempat yang sama.

Kedua-dua pertuduhan berkenaan merupakan kesalahan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 17(b) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1)Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun, dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi setiap kesalahan tersebut Mujahid di kenakan denda RM10,000 dan satu hari penjara. Manakala rakan subahatnya Sharif yang mengekalkan pengakuan tidak bersalah akan di bicarakan pada 3 dan 4 Jun nanti.

Terdahulu semasa rayuan, Mujahid yang diwakili peguam Erveana Ansari memohon hukuman ringan dengan mengambil kira bahawa beliau (Mujahid) telah memberikan kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan kes di jalankan.

Mahkamah turut diberi tahu bahawa Mujahid telah berkahwin dengan seorang wanita tempatan dan mempunyai seorang anak, beliau juga dalam perancangan balik ke negara asalnya untuk menziarahi ayahnya yang sedang sakit.

Walaubagaimanapun Pegawai Pendakwa SPRM, Rekhraj Singh dalam hujahan balasnya memohon mahkamah mempertimbangkan bahawa tertuduh mempunyai dua pertuduhan, dan kes rasuah merupakan kes sensatif dan serius di mata masyarakat, justeru beliau menggesa agar hukuman setimpal adalah perlu bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *