Usahawan Sabah perlu manfaat teknologi – Fairuz

KOTA KINABALU: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) 
Sabah, Fairuz Renddan menyeru semua usahawan untuk memanfaatkan teknologi digital dan komunikasi seiring dengan norma baharu yang diamalkan pada masa kini berikutan daripada penularan pandemik COVID-19.

Katanya, usahawan masa kini berdepan dengan cabaran semasa yang menghimpit terutamanya dari segi memasarkan produk jualan kepada pelanggan.

“Sememangnya usahawan pada saat ini perlu mempertimbangkan untuk berusaha bagi meneroka pasaran secara digital, dalam talian, dan pelbagai platform jualan seperti Lazada, Shopee, medium media sosial dan lain-lain lagi.

“Norma baharu telah mencorak kehidupan kita masa ini dan kreativiti usahawan dalam menjadikan platform digital sebagai cabang memasarkan produk adalah jalannya,” katanya dalam sesi Sembang Talk Usahawan ARMADA yang diadakan secara atas talian, semalam.

Menurutnya, usahawan masa kini memang berdepan dengan cabaran besar dan mereka perlu merebut segala peluang yang ada demi memastikan kelangsungan perniagaan yang dijalankan.

“Memang payah untuk usahawan terus bertahan, namun ia juga tidak mustahil untuk dilakukan.

“Pandemik COVID-19 sangat menjejaskan perniagaan yang diusahakan dan membebankan dari segi perbelanjaan tambahan yang perlu ditanggung misalnya kos sewa kedai, utiliti dan lain-lain, yang masih perlu ditanggung oleh usahawan biarpun mereka tidak dapat menjalankan perniagaan pada masa kini berikutan kekangan-kekangan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan masa operasi serta perlaksanaan SOP yang turut menghalang sesetengah sektor daripada beroperasi,” katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar usahawan masa kini meneroka bidang baharu sebagai strategi tambahan untuk memastikan kelangsungan pendapatan mereka.

“Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya bukan? Jadi sudah pasti usaha keras, berani mengambil risiko untuk melangkah ke bidang lain sebagai back-up plan, adalah antara langkah yang boleh dilakukan oleh mereka,” katanya.

Sembang Talk yang berlangsung selama 100 minit itu turut disertai oleh Exco ARMADA Nasional merangkap Ketua Biro Keusahawanan ARMADA, Adi Farhan dan Ketua Biro Keusahawanan Negeri Sabah, Shahril Osin.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *