9 Wanita Palauh Ditahan Untuk Siasatan, Belum Didenda RM10,000 – Ketua Polis Lahad Datu

LAHAD DATU: Sembilan wanita Palauh yang ditahan pada Sabtu tidak dikenakan kompaun, sebaliknya ditahan untuk siasatan kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata, tiada kompaun dikeluarkan oleh pihaknya kepada pengemis wanita suku Palauh sehingga kini.

Beliau berkata, kertas siasatan bagi kes tersebut dibuka mengikut Seksyem 269 Kanun Keseksaan; Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No.3) 2021 serta Akta Imigresen 1959/63.

Dibawah Peraturan 17 PPB, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda RM10,000 atau penjara selama enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

“Setelah siasatan dilengkapkan, Bahagian Siasatan Jenayah IPD lahad Datu akan merujuk kertas siasatan tersebut kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Terdapat kesilapan dalam laporan awal Borneo Today semalam yang menyatakan sembilan pengemis wanita Palauh yang ditahan di Lahad Datu dikenakan kompaun RM10,000. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published.