NBOS direalisasi dalam program Ziarah Kasih di Pulau Mantanani

KOTA BELUD: Beberapa jabatan dan agensi kerajaan berjaya melaksanakan khidmat komuniti di Pulau Mantanani Kota Belud melalui program Ziarah Kasih yang diadakan selama dua hari satu malam di Pulau Mantanani baru-baru ini. 

Program ini berjaya merealisasikan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) disertai antara lain oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Tentera Darat, AADK, Maritim Malaysia, TLDM, Pejabat Daerah Kota Belud, dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Belud .

Program itu dijalankan dengan sokongan kuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Fairuz Renddan.

Sebanyak 250 bakul makanan daripada JPKA dan YADIM diagihkan kepada setiap rumah, manakala Tentera Darat dari 5 Divisyen membaiki sebuah rumah nelayan. 

Pemeriksaan kesihatan dan pergigian oleh Tentera Darat, taklimat keselamatan, kempen jauhi dadah, tazkirah Ihya Ramadhan dan sukaneka kanak-kanak antara pengisiannya. 

Lebih manis lagi program dihadiri oleh Panglima Divisyen Kelima Tentera Darat Mejar Jeneral Dato’ Hj Mohd Halim Khalid, Pengarah JPKA Jais Asri, Pengarah YADIM Sabah Hj Samin Hj Ongki, Pengarah AADK Sabah Abdul Hamid Ibrahim dan Penolong Pegawai Daerah Kota Belud Abdul Wahab Sidek.

Aktiviti ini berjaya merapatkan hubungan mesra jabatan/agensi kerajaan dengan penduduk pulau berkenaan yang terletak agak jauh dari tanah besar selain menyampaikan dasar-dasar kerajaan serta perkhidmatan kepada masyarakat. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *