Kerajaan GRS Sentiasa Pentingkan Dasar Kesaksamaan Semua Perayaan Di Sabah

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri dibawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa mementingkan dasar kesaksamaan kepada semua perayaan tanpa mengira kaum dan agama khususnya di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia jelas dibuktikan menerusi penganjuran majlis resepsi Tahun Baru Cina yang turut menjadi satu perayaan penting untuk rakyat di negara ini.

Katanya, ia juga sama seperti perayaan-perayaan lain seperti Hari Raya Aidilfitri; Krismas; Deepavali; Pesta Kaamatan dan sebagainya.

โ€œSelepas dua tahun tidak dapat meraikan sambutan Tahun Baru Cina disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19, pada tahun ini kita berpeluang meraikannya secara sederhana dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

โ€œJusteru, kita manfaatkanlah peluang yang ada ini, di samping bergembira menyambut perayaan Tahun Baru Cina, secara tidak langsung majlis seperti ini dapat menyemai, memupuk dan mempertahankan semangat murni dan kerjasama di antara kaum,โ€ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pesta Ang Pow Tahun Baru Cina di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata,  Kerajaan GRS di bawah kepimpinannya akan terus menyokong penganjuran majlis perayaan yang diadakan di negeri ini.

โ€œBagi memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini, kerajaan negeri telah memberikan bantuan membekal kepala singa kepada tokong-tokong dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

โ€œBagi tujuan ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk bantuan kepala singa di seluruh negeri,โ€ katanya.

Katanya, Kerajaan GRS juga amat menitikberatkan aspek pendidikan kepada rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama.

โ€œSebab itu, pada tahun ini sahaja, kerajaan memperuntukkan jumlah yang besar kepada sekolah dan badan keagamaan bukan Islam iaitu sebanyak RM47 juta sekali gus ini adalah jumlah paling besar yang diluluskan kerajaan negeri.

โ€œSemoga sumbangan dan bantuan kewangan oleh kerajaan GRS ini akan memberi manfaat dan memupuk semangat kesaudaraan dalam kalangan masyarakat Tionghua di negeri ini,โ€ katanya. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *