GRS tetap pendirian agar tuntutan dalam MA63 ditunaikan

KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap dengan pendirian agar semua perkara atau tuntutan seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat ditunaikan.

Perkara itu diutarakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam Mesyuarat Majlis Khas mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan secara maya oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Hajiji berkata, perbincangan di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengenai perkara itu sedang berjalan dan kedua-dua pihak komited untuk mencari penyelesaian.  

“Perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana yang penting kita sudah memberi pandangan serta pendirian kita dan kerajaan Persekutuan turut memberi respon yang positif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat Sabah juga harus mengambil kira komitmen Perdana Menteri yang secara terbuka memberi jaminan untuk menilai dan berusaha mencari penyelesaian kepada semua tuntutan-tuntutan yang kerajaan negeri kemukakan.

Mesyuarat MKMA63 itu turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong dan Peguam Besar Negeri Sabah Datuk Nor Asiah Mohd Yusof. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *