Ibu tunggal terima rumah baharu dibina SEC

PENAMPANG: Seorang ibu tunggal di Kampung Kipangah di sini tersenyum gembira selepas menerima kunci rumah baharu yang siap dibina hanya dalam tempoh 45 hari sahaja.

Ibu kepada tujuh anak Ovining @ Noni Primus yang berusia sekitar 60-an turut bertuah kerana pemberian kunci rumah baharunya itu disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam satu majlis ringkas hari ini.

Rumah berkenaan dibina oleh Sabah Energy Corporation (SEC) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Selain disiapkan dalam tempoh yang cepat, rumah dua bilik itu turut dilengkapi dengan waranti selama dua tahun daripada  kontraktor yang dilantik oleh SEC.

Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub berkata, pihaknya sentiasa memberi tumpuan untuk membantu rakyat Sabah yang kurang bernasib baik menerusi pelaksanaan program CSR.

Katanya, ia juga sebagai komitmen jangka panjang SEC untuk mengubah mata pencarian rakyat Sabah melalui pelbagai program CSR syarikat berkenaan.

“Pada mulanya SEC merancang untuk melakukan kerja pembaikan sahaja, tetapi memutuskan untuk membina rumah baharu memandangkan rumah lama beliau terlalu usang dan sukar untuk dibaiki,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melaksanakan CSR dengan membina rumah baharu untuk penerima.

Sementara itu, Noni ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, SEC dan kerajaan negeri atas bantuan membina rumah baharu untuk keluarganya.

Sebelum ini, sudah bertahun-tahun beliau memohon rumah baharu menerusi Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) tetapi tidak berhasil.

Pada masa sama, keadaan rumah lamanya juga hampir roboh akibat serangan anai-anai.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong; Ketua Pegawai Eksekutif SEC Datuk Harun Ismail dan Lembaga Pengarah SEC bersama pasukan pengurusannya. – Utusan Borneo Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *