Cadangan pengeluaran pengenalan diri secara digital kepada warga asing dapat undian majoriti – Jeffrey

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan meneruskan pengeluaran pengenalan diri secara digital kepada semua warga asing yang memegang dokumen standard di Sabah.

Perkara itu disuarakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan selepas menerima undian majoriti daripada Sesi Town Hall yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Khamis.

“Pengenalan secara digital kepada warga asing akan diurus dan dikawal selia oleh Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri dan ia boleh diakses oleh penguatkuasa-penguatkuasa kerajaan.

“Bagaimanapun pengenalan diri tersebut bukanlah pemberian kerakyatan atau status penduduk tetap, sebaliknya untuk mengetahui keberadaan golongan terbabit di negeri ini.

“Masalah yang sudah lama berlarutan ini mesti diselesaikan, jika tidak, mustahil untuk diselesaikan.

“Kami kini telah sampai ke tahap di mana kami memerlukan kemahuan politik untuk menyelesaikannya, dan saya sangat gembira untuk mengatakan bahawa Kerajaan Persekutuan telah memberi kami peluang ini untuk menyelesaikannya mengikut syarat kami.

“Sebab itu kita boleh bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini, kerana tiada siapa boleh menyelesaikan tanpa sokongan antara satu sama lain. Kita perlukan Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, rakyat dan pembangkang,” katanya.

Jeffrey, yang mengetuai jawatankuasa khas mengenai isu itu berkata, Sesi Town Hall Pendigitalan Data Warga Asing yang dihadiri ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO), ketua masyarakat dan wakil kerajaan yang menyaksikan 89 peratus menyokong pengeluaran pengenalan, manakala 99 peratus mengundi menyokong pendigitalan data.

Sementara itu, katanya, laporan Sesi Town Hall akan diserahkan kepada Kabinet Negeri sebelum dibawa ke Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Jeffrey turut berkata, pengumpulan data akan dimulakan secepat mungkin dan telah mengkaji untuk menyediakan jentera. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *