Sabah cadang pinda Enakmen Hutan selaras pindaan Akta Perhutanan Negara

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bercadang meminda Enakmen Hutan 1968 yang dikuatkuasakan di negeri ini bagi memastikan kerangka perundangan perhutanan negeri seiring dengan pindaan Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 yang diluluskan Dewan Rakyat, bulan lalu.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata cadangan pindaan itu mencakupi aspek yang lebih mencabar dalam sektor perhutanan masa kini, termasuk memenuhi agenda antarabangsa bagi menangani isu perubahan iklim dan kaedah mitigasi melalui perdagangan karbon serta pemuliharaan biodiversiti.

Katanya, kerajaan negeri juga mahu memperkemas ruang kerjasama dengan pemegang Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mapan (SFMLA) selaras dengan visi pengurusan hutan mapan yang dilaksanakan di negeri ini.

“Saya berpendapat sudah tiba masa untuk kerajaan negeri menjalankan usaha yang serupa dengan meminda Enakmen Hutan 1968 bagi memastikan kerangka perundangan perhutanan negeri dapat seiring dengan perkembangan semasa,” katanya pada Majlis Apresiasi Perhutanan 2022 (MAPT2022) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Pindaan terhadap APN 1984 yang diluluskan Dewan Rakyat bulan lalu, antara lain bertujuan meningkatkan perlindungan hutan kekal di Malaysia dengan menggariskan syarat yang ketat untuk pewartaan keluar sebarang kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung.

Hajiji berkata, pindaan terhadap akta itu dilihat banyak mencontohi apa yang dilakukan kerajaan negeri di Sabah memandangkan negeri ini lebih awal mengenakan syarat ketat berkaitan pengekalan kawasan hutan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri melihat pindaan dalam akta itu yang berkaitan dengan kenaikan kadar denda, hukuman dan penalti tambahan bagi membendung kegiatan yang merosakkan alam sekitar juga perlu dilaksanakan dalam enakmen negeri.

“Berdasarkan kepada perkembangan ini, saya menyarankan agar Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Peguam Besar Negeri serta Pejabat Setiausaha Hasil Bumi mengkaji semula peruntukan dalam Enakmen Hutan 1968 dan mengasimilasikan pindaan APN mengikut kepentingan negeri,” katanya.

Katanya, usaha juga perlu terus ditambah baik bagi memantapkan pengurusan kawasan hutan simpan dalam menyokong dasar kerajaan untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negeri dilitupi kawasan berhutan serta 30 peratus Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA).

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Jabatan Perhutanan Sabah sudah mengorak langkah awal meletakkan sasaran 30 peratus kawasan TPA di negeri ini, mendahului negeri dan wilayah lain di Malaysia.

“Atas usaha Ketua Konservator Hutan dan kerja berpasukan yang diamalkan warga Jabatan Perhutanan, kita rakyat Sabah berbangga kerana separuh daripada keluasan negeri ini masih kekal dilitupi hutan.

“Kita sebenarnya adalah antara penyumbang utama dalam mitigasi perubahan iklim yang sedang melanda dunia. Beberapa langkah proaktif diambil untuk mengelakkan hutan kita daripada terancam melalui pemantapan aktiviti penguatkuasaan dan pengurusan hutan secara mapan,” katanya.

Katanya, antara langkah diambil ialah usaha sama kerajaan negeri dengan pemegang SFMLA melalui konsep rakan pintar dengan 1.65 juta hektar kawasan Hutan Simpan Komersial Kelas II di negeri ini dilesenkan kepada pemegang SFMLA untuk diurus melalui konsep Pengurusan Hutan Mapan, setakat ini.

Hajiji berkata, beliau sudah melawat dua kawasan SFMLA iaitu Jawala Plantation Industries Sdn Bhd dan Sapulut Forest Development Sdn Bhd pada Julai lalu untuk melihat sendiri kemajuan pembangunan ladang hutan di kedua-dua kawasan.

“Saya mendapati kedua-dua kawasan ini menunjukkan kemajuan positif dalam membangunkan ladang hutan di kawasan lesen mereka. Pencapaian ini perlu dijadikan contoh oleh semua pemegang lesen SFMLA yang diberikan amanah untuk membangunkan ladang hutan di Sabah,” katanya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *