Mangsa lemas di Penampang berjaya ditemui

Penampang, 19 Jun 2022 – Mayat seorang daripada dua mangsa lemas berjaya ditemui oleh pasukan penyelamat (SAR) di Sungai Moyog, Kampung Pangansakan, Inobong, Penampang kira-kira jam 2.45 petang tadi.

Mayat Harold Walter, 17 Tahun, telah ditemui kira-kira tiga kilometer dari tempat mereka dilaporkan lemas.

Seorang mangsa lagi, Tomansi Olaf, 17 tahun masih belum ditemui dan pasukan SAR sedang giat menjalankan usaha mencari dan menyelamat sehingga ketika ini.

Terdahulu, Ibu Pejabat Polis (IPD) Penampang menerima satu maklumat pada 18 Jun 2022 jam, 4.50 petang mengenai kejadian sekumpulan remaja disyaki hanyut di Sungai Kampung Pogunon, Penampang.

Menerusi maklumat yang diterima, sekumpulan enam remaja lelaki terbabit telah mandi di kawasan sungai tersebut dan secara tiba-tiba paras air sungai naik dan dua rakan mereka telah dihanyutkan arus sungai deras.

Tiga remaja yang terperangkap di seberang sungai berkenaan telah berjaya dibawa keluar dan Operasi SAR untuk menjejaki dua lagi mangsa telah dilakukan bermula sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Hj Ibrahim selaku Ketua Pasukan SAR dan Pegawai Daerah Penampang, Tuan Francis Chong yang juga merupakan Pengerusi Pusat Operasi Kawalan Bencana (PKOB) Daerah Penampang turut turun padang di lokasi untuk bersama-sama dalam operasi tersebut.

Operasi SAR kali ini juga turut menggunakan teknologi dron dari Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara (PGU) Sabah, Unit K9 dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam usaha untuk menjejaki mangsa lemas.

Antara agensi yang terlibat dalam Operasi SAR ini adalah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang awam yang terdiri daripada ahli keluarga mangsa.

Seluruh warga IPD Penampang turut berduka cita di atas kejadian ini dan salam takziah buat keluarga mangsa. Semoga urusan operasi SAR untuk menjejaki mangsa kedua dipermudahkan.

Pihak Polis turut menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan aktiviti sungai dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *