Negara intai pasaran baharu minyak sawit

TAWAU: Kerajaan akan meneroka pasaran baharu minyak sawit termasuk ke benua Afrika biarpun komoditi itu masih berdepan diskriminasi oleh negara Kesatuan Eropah (EU)

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, dalam usaha menangkis persepsi negatif dan diskriminasi terhadap minyak sawit, kerajaan mengambil pendekatan memperkasa serta menstabilkan harga komoditi itu di pasaran dunia.

Beliau berkata, diskriminasi terhadap minyak sawit bukan isu baharu kerana negara eropah sememangnya mempunyai agenda mereka sendiri terutamanya yang berkaitan dengan harga komoditi dunia termasuk kacang soya.

“Pasaran baharu minyak sawit masih luas dan kita boleh jual di mana-mana negara untuk pasaran antarabangsa.

“Jadi kita perlu ada pasaran baharu contohnya negara seperti Turki, Jordan, Arab Saudi atau di benua Afrika yang banyak lagi boleh kita terokai selain negara eropah (EU).

“Apatah lagi ketika minyak sawit mentah paling tinggi 20 juta tan, ia dapat menstabilkan harga sekali gus menjamin pendapatan pekebun kecil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Tawau Berhad, di sini, hari ini.

Mengulas penubuhan KPSM itu, beliau berkata ia sebagai langkah strategik kementeriannya dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam membantu pembangunan dan produktiviti pekebun kecil melalui pembabitan dalam model ekonomi baharu kerajaan yang memberi tumpuan kepada koperasi serta industri kecil dan sederhana.

Katanya, KPSM boleh menjalankan perniagaan yang memberi kesan langsung kepada peningkatan pendapatan ahli melalui jualan buah tandan segar berkelompok dan pembelian input secara pukal, selain penyertaan dalam perniagaan lain untuk memperkukuhkan status kewangan koperasi sekali gus memberi pulangan dalam bentuk dividen kepada ahli.

“Pelbagai bantuan dan sokongan disalurkan kerajaan termasuk memperkenalkan geran bagi pembinaan pusat timbang sebanyak RM200,000 selain Skim Pmbiayaan Mudah Tanpa Faedah untuk disalurkan kepada KPSM terpilih dengan kadar RM200,000 bagi sebuah koperasi,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab rungutan sebilangan pekebun kecil berhubung kenaikan kos racun dan baja ketika sesi dialog, beliau menjelaskan pihaknya maklum akan perkara itu dan bersedia berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi mencari jalan penyelesaian.

Katanya, selain Malaysia negara lain turut menghadapi masalah sama kerana faktor kenaikan harga itu didorong beberapa isu termasuk dasar negara pengeluar yang membekalkan bahan mentah berkenaan.

“Sebab itu, KPSM boleh memainkan peranan dengan kaedah membeli secara pukal selain penggunaan baja organik yang dilihat sedikit sebanyak mampu mengurangkan kebergantungan kepada baja dan racun import,” ujarnya.

Untuk rekod, sehingga Mei lalu, sebanyak 69 KPSM ditubuhkan di seluruh negara masing-masing 24 di Semenanjung, 27 di Sabah dan baki 18 lagi di Sarawak. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *