1,612 Ketua Isi Rumah Matunggong dapat bantuan bakul makanan

Oleh: Ranya Saai

KUDAT: Seramai 1,612 Ketua Isi Rumah (KIR) di Matunggong mendapat bekalan bantuan bakul makanan bagi meringankan beban mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas pemberian bantuan bakul makanan terbabit.

“Pemberian ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan dan miskin.

“Agihan bakul makanan ini adalah kepada golongan tersenarai dalam e-Kasih di Matunggong di samping kerajaan juga turut memberi bantuan ‘one-off’ secara tunai kepada golongan B40 yang disalurkan terus kepasa akaun penerima.

“Pejabat Daerah Kecil Matunggong hampir selesai mengagihkan jumlah bakul lebih kurang 98 peratus di seluruh kawasan Matunggong,” katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan bakul makanan terbabit, di sini, hari ini.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong Francis Chong, Pegawai Pemimpin Masyarakat (PPM) Matunggong Marius Masain, Pegawai kebajikan Daerah Kecil Matunggong Connie Jikisoi dan Pegawai Pemaju Masyarakat Matunggong Epson Kawahui.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat turut berkata ini juga membuktikan bahawa kerajaan GRS akan terus membela rakyat terutamanya ketika berhadapan dengan pandemik COVID19.

Pada masa sama katanya, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan kejayaan bagi usaha murni itu dan pihaknya akan terus berusaha sebaik mungkin untuk membantu golongan yang layak.

“Tanpa kerjasama semua pihak program seumpama ini tidak akan berjaya. Saya ucapkan tahniah kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang melibatkan empat anggota dan semua kakitangan Pejabat Daerah Kecil Matunggong atas komitmen tinggi yang diberikan dalam melaksanakan program agihan dengan jayanya,” ujar beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *