GRS fokus laksana mandat rakyat, tidak terikut politik Semenanjung – Hajiji

KOTA KINABALU – Parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap fokus dalam melaksanakan mandat rakyat Sabah yang mahukan negeri itu dibangunkan terutama dari segi ekonomi, dan tidak terikut dengan situasi politik Semenanjung, kata Pengerusi GRS Datuk Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah berkata parti komponen GRS mempunyai persefahaman politik yang amat baik dalam melaksanakan mandat itu yang wajar dihormati oleh semua pihak.

“Dapat mandat kita laksanakan mandat rakyat… itu (situasi politik Semenanjung) tidak ganggu keadaan di sini kerana keadaan politik di sana berbeza dengan Sabah, kita tidak boleh terikut dengan cara mereka di sana (Semenanjung).

“Walaupun kita satu negara tetapi jauh juga dipisah dengan Laut Cina Selatan,” kata Hajiji yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah itu pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan pelancaran sambutan ulang tahun ke-75 RTM peringkat negeri di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kepayan di sini.

Hajiji berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menegaskan pendirian UMNO Sabah mengutamakan kepentingan rakyat yang dahagakan pembangunan serta akan meneruskan kerjasama GRS demi kebaikan rakyat Sabah.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran perkembangan politik negara yang menyaksikan UMNO berhasrat bergerak solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

Ditanya sama ada situasi politik Semenanjung membawa kesan kepada agihan kerusi Parlimen antara parti komponen GRS pada PRU15, Hajiji berkata parti komponen GRS akan mencari jalan terbaik bila tiba masanya.

“Kita yakin dengan kebijaksanaan kepimpinan parti komponen GRS boleh capai kata sepakat untuk kerusi ditandingi, kita tidak perlu gaduh yang penting boleh menang banyak kerusi di Sabah,” katanya.

GRS terdiri daripada parti komponen PN (Bersatu, Parti Solidariti Tanah Airku, Parti Progresif Sabah dan PAS); Barisan Nasional (UMNO, Parti Bersatu Rakyat Sabah, MCA, MIC) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.