Kepelbagaian Budaya, Tokoh Sastera Di Sabah Mampu Tarik Perhatian Dunia

KOTA KINABALU : Sabah mempunyai kepelbagaian budaya dan tokoh sastera yang boleh diketengahkan di peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, negeri ini turut kaya dengan alam flora yang boleh dieksploitasi dan dijadikan sebagai bahan karya yang menarik perhatian dunia.

“Justeru itu saya menyarankan supaya apa juga potensi yang kita ada ini dieksploitasi sebaik mungkin dan menjadi khazanah sastera budaya yang penting di negara kita.

“Kerajaan turut mengalu-alukan penganjuran program seperti ini yang bertaraf antarabangsa di Sabah yang kita semua harap menjadi salah satu program bersifat ilmu yang mampu membantu industri pelancongan ilmu di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Festival Kesusasteraan dan Kesenian Antarabangsa Sabah 2022 disini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, pihaknya berharap program itu akan menjadi pemangkin sastera dan budaya di Sabah selain menjadi jambatan silaturahim antara aktivis dan peminat sastera serta budaya di rantau ASEAN termasuk global.

“Kita di Sabah, sebenarnya amat terhutang budi kepada Badan Bahasa Dan Sastera Sabah (BAHASA)  kerana telah berusaha sedaya upaya dalam memartabatkan sastera kita hingga di peringkat global.

“Hal ini bukan mudah dilakukan. Hanya mereka yang genius dan bersungguh-sungguh sahaja, yang mampu berfikir jauh ke hadapan tentang warisan sastera bangsanya.

“Malah, jika saya tidak salah alamat, sastera kita, insyaAllah, akan terus diingati di peringkat dunia, jauh lebih lama daripada usia kita sendiri. Seribu tahun akan datang, akan ada orang yang berbicara, tentang sastera dan sumbangan kita pada hari ini sesuai zamannya,” katanya.-SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *