Kongsi perayaan perlu dipertahankan oleh rakyat pelbagai bangsa, agama di Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Amalan berkongsi dan meraikan semua perayaan tanpa mengira bangsa dan agama adalah keunikan rakyat di negeri ini yang perlu dipertahankan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, seperti sambutan Pesta Kuih Bulan atau juga dikenali sebagai Perayaan Pertengahan Musim Luruh, walaupun disambut oleh masyarakat Cina tetapi perayaan ini turut dimeriahkan oleh semua lapisan masyarakat di negeri ini.

“Amalan kongsi raya atau pesta kebudayaan oleh semua kaum untuk perayaan seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baharu Cina, Pesta Kaamatan, Deepavali dan Krismas merupakan keunikan kita di Sabah yang harus dipertahankan sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Justeru, sambutan Pesta Kuih Bulan ini walaupun diraikan oleh masyarakat Cina tetapi ia turut dimeriahkan oleh masyarakat lain sekali gus dapat menyatupadukan rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri ini.

“Amalan seperti ini perlu terus dilakukan demi keutuhan perpaduan serta keamanan negara secara berterusan,” katanya ketika merasmikan Pesta Kuih Bulan 2022 di Padang Merdeka di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri
Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri Sabah terus memberi sokongan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama untuk meraikan perayaan serta kebudayaan masing-masing di negeri ini.

Katanya, suasana seperti itu mesti dikekalkan agar rakyat terus bersatu padu tanpa mengira perbezaan sebagai keluarga Malaysia.

“Kita hidup dalam lingkungan masyarakat pelbagai bangsa, agama dan budaya bukannya baru malah kita saling hormat menghormati antara satu sama lain.

“Inilah kekuatan dan keunikan negeri Sabah. Kerajaan negeri juga akan terus menjaga kebajikan semua rakyat Sabah tanpa mengira bangsa dan agama serta memastikan hubungan erat dan perpaduan semua kaum di Sabah dipertahankan.

“Dalam beberapa hari lagi, kita akan meraikan Hari Malaysia yang ke-59 dan saya berharap semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia di Sabah akan terus diperkukuhkan dan pesta ini mampu memantapkan lagi perpaduan,” katanya. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *